.: Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang :.
"4 Lil One sebuah blog yang menghimpunkan pelbagai artikel daripada web dan media cetak yang didedikasikan khas untuk memberikan maklumat, panduan dan bimbingan serta perkongsian pengalaman mengenai Kehamilan, Penyusuan Susu Ibu, Penjagaan Bayi dan Kanak-kanak, Pemakanan serta aktiviti-aktiviti yang berkaitan kekeluargaan. Semoga info-info di blog ini dapat membantu ibu bapa semua terutamanya 1st time parent."
Showing posts with label Didikan Agama. Show all posts
Showing posts with label Didikan Agama. Show all posts

06 April 2012

Wanita solehah dalam penyelesaian masalahnya


Salamun'alaik Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh....

Salam serta selawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta salam kepada para sahabat yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

Masalah rumahtangga memang tidak pernah habis-habis. Lebih-lebih lagi jika suami itu seorang yang tidak bertanggungjawab, membiarkan anak isteri tanpa memberi nafkah yang mencukupi, membiarkan anak isteri sakit di rumah tanpa berusaha mendapatkan rawatan yang sepatutnya, membiarkan isteri sendirian bergelut menghadapi masalah anak-anak dan lain-lain lagi. Kalau iman lemah, tentulah si isteri akan marah-marah, malah ada yang sampai mengajak suami bertarung di dalam mahkamah. Kalaulah hal ini berlaku kepada kita, bagaimana sepatutnya seorang wanita solehah menyelesaikan masalah yang dihadapinya?

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)

Sebenarnya, wanita yang solehah itu ialah wanita yang sangat cerdik. Cerdiknya dia ialah kerana dia faham apa maksud Tuhan di sebalik kejadian yang menimpa dirinya itu. Cerdiknya dia ialah kerana dia lihat Akhirat yang kekal abadi itu lebih besar dari dunia yang fana ini. Cerdiknya dia ialah kerana dia memahami perkara-perkara tersirat yang tidak difahami oleh wanita biasa. Cerdiknya juga kerana dia bertindak untuk jangka masa panjang dan bukan untuk jangka masa yang sementara. Dan cerdiknya juga kerana dia tidak turut menyakiti suami yang telah “menyakiti”nya itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Bukankah baik kalau hubungan di antara suami dan isteri itu dikekalkan intim?

Kalau dicari penyelesaian dengan secara merungut-rungut dan meminta-minta sehingga suami naik bosan, atau secara bergaduh-gaduh sama ada di luar atau dalam mahkamah, bukankah ini akan meretakkan lagi hubungan suami isteri itu sehingga boleh menyebabkan penceraian? Pendek kata, cara ini ialah cara penyelesaian jangka pendek yang dicari oleh wanita yang kecil jiwanya, yang tidak tahan dengan sedikit ujian demi mendapatkan hasil yang baik. Walhal, wujudnya institusi keluarga yang aman damai itu adalah asas kepada perpaduan dan pembangunan sebuah masyarakat yang aman makmur.

Apabila seorang wanita solehah dilanda masalah, dia tidak akan terus bertindak mengikut akal dan emosinya, tetapi dia akan terus merujuk kepada Tuhan dengan melakukan beberapa perkara yang utama iaitu:

1. bertaubat atas dosa
2. merintih kepada Tuhan
3. melakukan perkara-perkara yang disukai Tuhan

Bertaubat Atas Dosa

Wanita yang faham akan maksud Tuhan akan sentiasa sedar bahawa Tuhan itu tidak akan mendatangkan masalah dengan sia-sia. Setiap kesusahan yang Tuhan datangkan itu adalah untuk penghapusan dosa atau untuk menaikkan darjatnya di sisi Tuhan. Sebagai seorang hamba yang lemah, lebih baik kita merasakan bahawa kita sudah banyak melakukan dosa sehingga menyebabkan Tuhan murka. Kenang-kenangkan dosa-dosa yang telah kita lakukan, antaranya mungkin kita cuai dan lalai dalam sembahyang, meringan-ringankan sembahyang, mungkin juga kita telah menyakiti hati kawan atau jiran dan lain-lain. Apatah lagi kalau kita selalu mengumpat, memfitnah, mengadu domba, sombong, hasad dengki dan lain-lain. Semua itu adalah dosa yang akan menjerumuskan kita ke dalam Neraka.

Jadi, apabila kita selalu mengenang dosa-dosa ini, akan timbul rasa untuk bertaubat. Cepat-cepatlah kita bertaubat dengan penuh keinsafan dan dengan hati yang sangat takutkan kemurkaan Tuhan serta merasakan diri kita sangat berdosa dan tidak selamat dari Neraka Tuhan.

Merintih Kepada Tuhan

Selain dari bertaubat atas dosa, wanita solehah juga suka bercakap-cakap dan mengadu kepada Tuhan. Dia akan merayu-rayu dan merintih-rintih kepada Tuhan agar Tuhan membantu menyelesaikan masalahnya. Kalau didengarilah rintihan mereka ini, ia ibarat rintihan seorang kekasih kepada kekasihnya, atau rintihan seorang hamba tawanan kepada pemerintah yang sangat berkuasa. “Wahai Tuhan, Engkau Maha Berkuasa, Maha Penyayang dan Maha Penyelesai Masalah. Dan aku sangat lemah dan sangat berdosa. Memang layaklah aku Engkau timpakan masalah sebegini kerana dosa-dosaku yang terlalu banyak terhadap-Mu. Tetapi Tuhan, aku tidak sanggup menghadapi masalah ini tanpa pertolongan-Mu. Tolonglah aku Tuhan! Tolonglah aku Tuhan! Aku sangat lemah kerana memang Engkau ciptakan aku lemah. Manakala Engkau sangat berkuasa dan boleh menyelesaikannya hanya dalam sekelip mata. Tunjukkanlah aku akan kehebatan-Mu sebagai yang Maha Penyelesai Masalah”, begitulah mungkin sedikit daripada kata-kata rintihan seorang wanita solehah apabila dilanda masalah. Dia akan merintih dan terus merintih di dalam hati, walaupun di waktu dia tersenyum gembira di hadapan manusia ramai.

Melakukan Perkara-perkara Yang Disukai Tuhan

Kerana begitu seriusnya dia hendak mengambil hati Tuhan agar Tuhan berkenan dengannya dan sudi menyelesaikan masalahnya, wanita yang solehah ini akan melakukan apa sahaja perkara yang disukai oleh Tuhan, selagi dia termampu.

Di sinilah logiknya mengapa seorang wanita solehah tidak akan menyakiti hati suaminya dengan meminta-minta, memarahi atau bergaduh dengan suaminya kerana dia tahu perkara itu ialah perkara yang tidak disukai oleh Tuhan. Kalau Tuhan sudah tidak suka, tentulah Tuhan tidak akan selesaikan masalahnya. Atau, kalau dapat diselesaikan pun, ia adalah penyelesaian yang Tuhan berikan dengan kebencian dan kemurkaan.

Kerana inilah, dia sanggup menekan perasaannya untuk terus melayan suaminya dengan baik, malah kalau boleh, diperelokkan lagi layanannya itu. Tujuannya bukan untuk mengampu suami, tetapi untuk menagih simpati dan kasih sayang Tuhan. Dia juga akan melakukan perkara-perkara lain seperti bersedekah, membantu orang susah, menambah amalan sunat dan lain-lain lagi. Beginilah yang akan dilakukannya terus-menerus sehinggalah Tuhan kasihan kepadanya dan sudi campur tangan untuk menyelesaikan masalahnya.

Dan apabila masalahnya itu Tuhan sendiri yang selesaikan, tentulah hasilnya selamat dan menyelamatkan. Penyelesaiannya kadang-kadang melalui jalan yang tidak disangka-sangka. Adakalanya, Tuhan berikan dorongan yang kuat (ilham) untuk dia mengambil sesuatu tindakan yang akan mendatangkan kesan yang sangat positif. Adakalanya, Tuhan datangkan seseorang yang sangat prihatin hendak membantunya. Atau mungkin tiba-tiba suatu kejadian berlaku ke atas suaminya sehingga menyebabkan sikap suaminya itu berubah. Atau kalau pun Tuhan mahu mereka berpisah kerana tahu suaminya itu tidak boleh berubah.

Dia akan berikan laluan yang mudah, tanpa perlu pergaduhan atau pertelingkahan. Paling tidak, Tuhan akan berikannya ketenangan dan ketabahan untuk menempuh masalah itu. Bukankah lebih baik mempunyai hati yang tenang walaupun dilanda masalah daripada tiada masalah tetapi hati gundah-gulana? Apabila datangnya bantuan Tuhan ini, wanita yang solehah ini akan cepat mengucapkan syukur seraya memuji-muji Tuhan.

Dia benar-benar merasakan bahawa Tuhanlah yang telah menyelesaikan masalahnya tanpa diduga. Kalaupun ada usaha-usaha lahir yang dilakukannya, dia langsung tidak merasakan yang dirinya hebat kerana pandai menyelesaikan masalah, sebaliknya rasa malu dan tidak layak kerana diberi bantuan.

Pendek kata, semakin banyak masalah yang menimpanya, semakin dekatlah dia kepada Tuhan dan semakin kuatlah imannya. Hatinya akan bertambah tenang kerana dia tidak takut menghadapi sebarang jenis masalah. Dia yakin, walau besar macam mana pun masalahnya, Tuhan boleh selesaikan. Berbeza dengan wanita yang mahu mencari penyelesaian lahiriah tanpa bergantung harap kepada Tuhan, dia akan menghadapi pelbagai kesusahan untuk menyelesaikan masalahnya itu. Sudahlah susah disakiti suami, susah pula hendak selesaikan masalah. Apabila selesai pula, datang pula masalah yang baru. Contohnya, seorang isteri yang begitu bersusah payah naik turun mahkamah untuk mendapatkan penceraian daripada suaminya. Sudahlah habis wang dan masa hanya untuk mendapatkan penceraian, bila sudah bercerai, si suami pula tidak mahu memberikan nafkah atau membawa lari anak kesayangannya. Hatinya akan terus menerus gundah-gulana dan kacau-bilau.

Hakikatnya, Tuhan tidak suka dengan dia kerana dia telah mengenepikan Tuhan. Dia lebih bergantung kepada kepandaian dan kemampuan dirinya sendiri, dan tidak bergantung kepada Tuhan untuk menyelesaikan masalahnya. Secara tidak sedar, dia sudah melakukan syirik khafi (syirik tersembunyi) kerana dia merasakan dirinya itu cukup berkuasa untuk menyelesaikan masalah. Walhal, satu kelipan mata pun tidak akan berlaku kalau bukan dengan kekuasaan Tuhan. Inilah sebenarnya wanita yang tidak pandai menyelesaikan masalah. Dia akan terus-menerus dibelenggu oleh masalah demi masalah, dengan penyelesaian yang kusut dan mengusutkan.

Terseksalah hidupnya di dunia, sebelum seksa yang lebih dahsyat di Akhirat nanti.

Waliyauzubillah.



Sumber: Raudhah.com

-->> Baca Seterusnya

23 February 2012

Amalkan Suasana Islam Dalam Keluarga

Hidup berkeluarga sememangnya diimpikan oleh setiap umat Islam yang beriman. Mempunyai suami dan isteri yang dicintai di sisi adalah keinginan muslimin dan muslimat. Setelah sahnya ijab dan kabul, maka bermula hidup berkeluarga yang penuh dengan warna dan serinya.

Selain daripada kebahagiaan yang dikecap, kita seharusnya mempersiapkan diri dengan cabaran dan ujian dalam hidup yang serba baru itu. Jika dahulu kita hidup dengan suasana bebas untuk melakukan sesuatu, tidak terikat dengan seseorang selain keluarga namun selepas berkahwin tiada lagi istilah hidup bujang.

Tanggungjawab terhadap keluarga bermula sebaik sahaja seseorang itu dikahwinkan. Bermulanya tanggungjawab terhadap isteri, mahupun suami sehinggalah kepada anak-anak. Berkahwin dan berkeluarga amat disukai Rasulullah S.A.W Baginda juga menyarankan agar mempunyai anak yang ramai bagi pasangan yang baik kerana dengan lahirnya ramai anak, maka lahirlah ramai penerus dan penyebar syiar Islam. Menjaga keluarga telahpun diperintahkan secara terus dari Allah S.W.T kepada kita semua.

Firman Allah S.W.T:
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (At-Tahrim: 6)

"Anak yang ramai bukan semuanya jadi orang alim pun". Ini antara nada sinis berbaur negatif yang selalu menjadi "mind set" kebanyakan daripada kita. Kenapa tidak anak-anak menjadi soleh dan solehah?. Anak-anak yang soleh solehah inilah yang akan mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya di alam kubur kelak. Doa mereka akan sentiasa mengiringi orang tuanya meskipun mereka telah meninggal dunia. Bukankah anak soleh dan solehah itu suatu kelebihan dan anugerah buat para ibu dan bapa?.

Dari Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." (riwayat Muslim)

Menghidupkan suasana Islam dalam keluarga atau biah solehah adalah seruan yang dituntut buat kita semua para suami, isteri, dan sesiapa yang bakal berada di alam rumah tangga ini. Jika sejak dari mula perkahwinan "mode Islam" itu diaktifkan, keluarga akan lebih cenderung dan akrab dengan Islam. Adalah wajib untuk mengajar anak-anak ilmu fardhu ain seperti akidah, ibadah, akhlak, serta syariat-syariat Islam yang lainnya.

Jangan bimbang andai tiada harta dunia tetapi bimbanglah andai tiada roh agama dalam keluarga. Taburkan kasih, dan cinta kita kepada pasangan hidup serta anak-anak dengan mencurahkan syariat agama Islam, bukan disuap dengan harta, kebebasan dan keseronokan yang fana.

Rasulullah S.A.W bersabda :
"Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih), kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi" (riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita bukan lahir dalam keluarga alim ulama'. Bukan dari keluarga wali-wali Allah dan bukan pula dari kalangan mufti-mufti yang benar. Kebanyakan kita adalah orang awam dan biasa. Pun begitu, tidak mustahil bagi kita mewujudkan keluarga yang mencontohi para alim ulama' dan orang-orang yang dekat denganNya. Setidak-tidaknya kita mencuba, dan sekurang-kurangnya kita menjalankan tanggungjawab dalam berkeluarga. Ayuh, bina syurga dunia dengan Islam. Le'ts turn on Islamic mode in our family!


- Artikel iluvislam.com
-->> Baca Seterusnya

Kesilapan Dalam Mendidik Anak-Anak

Sebenarnya terdapat banyak bentuk kesilapan dalam mendidik anak-anak. Kesilapan terbesar ialah kegagalan ibu dan bapa menjadikan agama sebagai teras dalam pendidikan anak-anak. Agama membawa kepada keseimbangan antara fizikal dan spiritual. Antara pembangunan akhlak dan kecemerlangan akademik. Antara dunia dan Akhirat. Tanpa agama, anak-anak ibarat ditinggalkan di lorong yang gelap tanpa pedoman untuk diikuti.

Sering kali berlaku, ibu bapa yang bersungguh-sungguh memarahi anak yang mendapat nombor yang corot dalam peperiksaan, tetapi hanya buat selamba abapila mengatahui anaknya meninggalkan solat dengan sengaja. Tidak kurang juga ibu bapa yang sangat mengambil berat soal makan-minum anak-anak tetapi, mengabaikan terus 'makanan' rohani anak-anak yang sentiasa 'lapar' dan 'dahagakan' petunjuk agama.

Ada juga ibu bapa yang membiarkan anak-anak bergaul bebas lelaki perempuan dengan alasan ia adalah 'kebiasaan budak-budak zaman sekarang', tanpa peka dengan batasan syariat yang menuntut kawalan pergaulan antara jantina berbeza. Ringkasnya, pengabaian agama merupakan kesilapan terbesar dalam pendidikan anak-anak.

Selain itu, kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa mendidik anak tanpa perasaan belas ihsan. Dr Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa terdapat anak-anak yang diperlaku dengan perlakuan yang keras sehingga menyebabkan anak-anak tertekan, kecewa, punah harapan dan ada yang membunuh diri.

Tidak dinafikan terdapat ibu bapa yang 'mendidik' anak berbekalkan luapan emosi marah tidak terkawal sehingga ada yang memaki hamun, menghina, memukul dan membelasah anak sendiri. Bahkan kes-kes penderaan anak masih kerap didengari sehingga hari ini.
Kekerasan melampau ke atas anak-anak ini membuahkan kekacauan jiwa anak-anak. Hal ini juga ada kaitannya dengan faktor anak-anak enggan berada di rumah. Bagi mereka 'Rumahku Nerakaku'. Mereka lebih bahagia dan damai bila berada dengan rakan-rakan, yang kadang-kadang membawa mereka ke kancah kemusnahan kekal.

Bagi si ibu dan bapa, perlu diingat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berbuat baik kepada anak-anak kerana anak adalah amanah dari Allah.

Allah berfirman:
"Sesungguhnya Allah menyuruh menjalankan keadilan, berbuat baik, dan memberi kepada kaum kerabat." (Surah an-Nahl:90)

SAbda RAsulullah S.A.W:
"Sekiranya Allah inginkan kebaikan bagi sesebuah keluarga, maka diberikan sifat belas kasihan kepada mereka. Dan andainya sifat belas kasihan itu suatu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai sebaik-baik ciptaan dari Allah. Dan sekiranya kekerasan itu adalah satu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai seburuk-buruk ciptaan dari Allah." (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi)

Selain itu, kesilapan juga berlaku ababila ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak. Ada ibu bapa yang berat untuk menghukum dan menegur anak-anak semata-mata takutkan anak itu merajuk. Kuasa merajuk anak itu diberikan sedemikian rupa sehingga anak itu berjaya memanupulasikannya sebagai senjata untuk mengugut ibu bapa.

Tidak salah untuk memanjakan anak. Memang anak-anak perlukan kemanjaan dan kasih sayang. Namun, tindakan yang salah ialah terlalu memanjakan anak dengan tidak menetapkan disiplin dan sempadan ke atas anak-anak. Akhirnya anak itu menjadi terlalu bebas, dan gagal dididik dangan teratur dan berprinsip.

Ringkasnya, antara faktor yang merosakkan pendidikan anak ialah berpunca dari ibu bapa sendiri yang gagal mendidik dengan cara yang betul. Realiti hidup masa kini yang semakin kompleks dan mencabar menuntut ibu bapa agar lebih tekun mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan dan mengadaptasinya dalam kehidupan berkeluarga. Landasan agama merupakan asas yang paling baik untuk menjadi bekalan dan rujukan dalam mendidik anak-anak menuju ketinggian sahsiah.


- Artikel iluvislam.com
-->> Baca Seterusnya
Setiap anak di kurniakan ibu bapa. Tetapi sejauh mana boleh kita buktikan kasih dan sayang kita kepada ibu bapa sendiri. Adakah cukup sekadar memberi wang setiap bulan .Adakah itu bukti kasih sayang kita kepada mereka.

Ada kisah yang ingin dikongsikan di sini. Kisah seorang anak yang sanngup berkorban untuk menjaga bapanya yang sedang menderita sakit buah pinggang walaupun terpaksa berjauhan dengan suami tercinta. Ibunya telah meninggal dunia sejak dua tahun yang lalu.

Tiga hari seminggu, dia akan membawa bapanya ke pusat dialisis untuk menjalani rawatan. Setiap keperluan bapanya di urus dengan baik. Walaupun mempunyai adik-beradik yang lain, tetapi bapanya amat selesa dengan anak perempuannya yang seorang ini. Setiap kali dia menghantar bapanya untuk menjalani rawatan, segala keperluan untuk bapanya di penuhi, antaranya menyuapkan makan, memakaikan stoking dan lain-lain.

Kalau di lihat kerja itu memang nampak mudah, tetapi melayan kerenah orang tua, bukan semudah yang disangkakan. Kita perlu banyak bersabar, begitu juga, ibu bapa bersabar membesarkan kita sehingga kita dewasa. Tetapi berapa ramai anak yang sanggup untuk menghabiskan masa menjaga orang tua walaupun mempunyai segulung ijazah .

Adakah kita mampu untuk menjaga ibu bapa kita seperti itu? Belum tentu lagi kita mampu untuk melakukannya. Sekarang mungkin kita akan kata kita mampu untuk menjaga ibubapa kita, tetapi bila tiba masanya, kemana kita pada waktu itu. Sibuk mencari wang sehingga mengabaikan kedua ibu bapa kita.

Cuba fikirkan sejenak, berapa kali kita melawat ibu bapa kita, itu pun setahun sekali pada hari raya. Dan yang menetap bersama ibu bapa, sejauh mana kita telah berbakti kepada mereka. Membantu meringankan kerja mereka dirumah, itupun sudah cukup melapangkan hati mereka melihat anak membantu keperluan di rumah selain bantuan kewangan. Tetapi persoalannya, adakah kita melakukannya?.

Banyak bukti menunjukkan bahawa berbakti kepada kedua ibubapa adalah persoalan penting dalam islam. Allah menegaskan hal ini dalam firmannya:

"Allah telah menetapkan agar kalian tidak beribadah selain kepada-Nya; dan hendaklah kalian berbakti kepada kedua ibubapa". (Al-Isra' :23)

Allah talah meletakkan keredhaan-Nya pada keredhaan ibubapa.Rasul bersabda ;
"keredhaan Allah bergantung pada keredhaan kedua ibubapa.Kemurkaan Allah bergantung pada kemurkaan ibubapa" (HR.BUKHARI DAN MUSLIM)

Marilah kita sama-sama renungkan pengorbanan ibu bapa kita yang tiada penamatnya. Jasa mereka tidak mampu kita balas walaupun dengan jutaan wang ringgit. Apa yang penting, kasih sayang kita pada mereka yang tiada hentinya. Doakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat, Jadi lah anak yang tahu mengenang jasa ibubapa. Hargailah pengorbanan mereka.


- Artikel iluvislam.com
-->> Baca Seterusnya

7M - Anak Selalu Hidup Bersama Al-Quran

Setiap orang tua pasti menginginkan buah hatinya menjadi anak yang soleh dan solehah.
Anak soleh-solehah merupakan harta yang paling berharga bagi orang tua.

Untuk mendapatkan semua itu, tentu harus ada kesungguhan yang tinggi dari orang tua dalam mendidik anak.

Salah satu yang wajib diajarkan kepada anak adalah segala hal tentang al-Quran kerana ia adalah pedoman hidup manusia.

Rasulullah SAW pernah bersabda (yang ertinya):


Didiklah anak-anakmu dengan tiga perkara: mencintai Nabimu; mencintai ahlul baitnya; dan membaca al-Quran kerana orang-orang yang memelihara al-Quran itu berada dalam lindungan singahsana Allah pada hari ketika tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya; mereka beserta para nabi-Nya dan orang-orang suci.  - HR ath-Thabrani

Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada jalan yang lebih lurus dan memberikan khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.  - QS al-Isra' (17: 9)

Bila al-Quran sebaiknya diajarkan pada anak? Tentu seawal mungkin. Semakin awal semakin baik. Akan sangat bagus jika sejak anak dalam kandungan seolah-olah calon anak kita itu sudah terbiasa 'hidup bersama' al-Quran; yakni ketika si ibu yang mengandungnya, rajin membaca al-Quran.


7M Agar Anak Selalu Hidup Bersama al-Quran 

01.Mengenalkan
Saat yang paling tepat mengenalkan al-Quran adalah ketika anak sudah mulai tertarik dengan buku. Sayang, banyak orang tua yang lebih suka menyimpan al-Quran di rak almari paling atas.

Sesekali perlihatkanlah al-Quran kepada anak sebelum mereka mengenal buku-buku lain, apalagi buku dengan gambar-gambar yang lebih menarik. Mengenalkan al-Quran juga boleh dilakukan dengan mengenalkan terlebih dulu huruf-huruf hijaiyah; bukan mengajarinya membaca, tetapi sekadar memperlihatkannya sebelum anak mengenal A, B, C, D. Tempelkan gambar-gambar tersebut di tempat yang sering dilihat anak; lengkapi dengan gambar dan warna yang menarik.

Dengan sering melihat, anak akan terpancing untuk bertanya lebih lanjut.
Saat itulah kita boleh memperkenalkan huruf-huruf al-Quran.

02.Memperdengarkan
Memperdengarkan ayat-ayat al-Quran boleh dilakukan secara langsung atau dengan memainkan kaset atau CD. Kalau ada teori yang mengatakan bahwa mendengarkan muzik klasik pada janin dalam kandungan akan meningkatkan kecerdasan, insyaAllah memperdengarkan al-Quran akan jauh lebih baik pengaruhnya bagi bayi. Apalagi jika ibunya yang membacanya sendiri. Ketika membaca al-Quran, suasana hati dan fikiran ibu akan menjadi lebih khusyuk dan tenang.

Kondisi seperti ini akan sangat membantu perkembangan psikologi janin yang ada dalam kandungan. Ini kerana, secara teori kondisi psikologi ibu tentu akan sangat berpengaruh pada perkembangan bayi, khususnya perkembangan psikologinya.
Kondisi tertekan pada ibu tentu akan berpengaruh buruk pada kandungannya. Memperdengarkan al-Quran boleh dilakukan bila-bila sahaja dan di mana sahaja; juga tidak mengenal batas usia anak.

Untuk anak-anak yang belum boleh berbicara, insyaAllah lantunan ayat al-Quran itu akan terakam dalam memorinya. Jangan pelik kalau tiba-tiba si kecil lancar melafazkan surah al-Fatihah, misalnya, begitu dia boleh berbicara. Untuk anak yang lebih besar, memperdengarkan ayat-ayat al-Quran (surah-surah pendek) kepadanya terbukti memudahkan si anak menghafalkannya.

03.Menghafalkan
Menghafalkan al-Quran boleh dimulai sejak anak lancar berbicara.
Mulailah dengan surah atau ayat yang pendek atau potongan ayat (misalnya fastabiq al-khayrât, hudan li an-nâs, birr al-walidayn, dan sebagainya). Menghafal boleh dilakukan dengan cara seringkali membacakan ayat-ayat tersebut kepada anak. Jadi latihlah anak untuk menirunya. Hal ini dilakukan berulang-ulang sampai anak hafal di luar kepala. Masa kanak-kanak adalah masa meniru dan memiliki daya ingat yang luar biasa.

orang tua harus menggunakan kesempatan ini dengan baik jika tidak ingin menyesal kehilangan masa emas (golden age) pada anak. Supaya anak lebih mudah mengingat, ayat yang sedang dihafal anak boleh juga sering dibaca ketika ayah menjadi imam atau ketika naik kereta dalam perjalanan. Disamping anak tidak mudah lupa, hal itu juga sebagai usaha membiasakan diri untuk mengisi kesibukan dengan amalan yang bermanfaat.
Nabi SAW bersabda: Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, sesungguhnya hafalan al-Quran itu lebih cepat lepasnya daripada seekor unta pada tambatannya. - HR al-Bukhari dan Muslim

04.Membaca
Siapa saja yang membaca satu huruf dari Kitab Allah maka dia akan mendapat satu kebaikan. Satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan bahawa alif-lam-mim adalah satu huruf. Akan tetapi, alif adalah satu huruf, lam satu huruf, dan mim juga satu huruf. (HR at-Tirmidzi).

Sungguh luar biasa pahala dan kebaikan yang dijanjikan kepada siapa saja yang biasa membaca al-Quran. Bimbing dan doronglah anak agar terbiasa membaca al-Quran setiap hari walau cuma beberapa ayat. orang tua penting memberikan contoh. Jadikanlah membaca al-Quran, terutamanya pada pagi hari usai solat subuh atau usai solat maghrib, sebagai kegiatan rutin dalam keluarga.

Ajaklah anak-anak yang belum boleh membaca untuk bersama-sama mendengar abang-kakaknya yang sedang membaca al-Quran. orang tua mempunyai kewajipan untuk mengajarkan kaedah-kaedah dan adab membaca al-Quran. Untuk boleh membaca al-Quran, termasuk mengetahui kaedah-kaedahnya, sekarang ini tidaklah sulit. Telah banyak metode yang ditawarkan untuk boleh mudah dan cepat membaca.

Ada metode Iqra, Qiroati dan sebagainya. Metode-metode itu telah terbukti memudahkan ribuan anak-anak bahkan orang tua untuk mahir membaca al-Quran. Alangkah baiknya membaca al-Quran ini dilakukan secara bersama-sama oleh anak-anak di bawah bimbingan orang tua. Ketika seorang anak membaca, yang lain menyemaknya. Jika anak salah membaca, yang lain boleh membetulkan. Dengan cara itu, rumah akan selalu dipenuhi dengan bacaan al-Quran sehingga berkat.

05.Menulis
Belajar menulis akan mempermudah anak dalam belajar membaca al-Quran. Ajarkan kepada anak kata-kata tertentu yang mempunyai makna. Dengan begitu, selain anak boleh menulis, sekaligus anak belajar bahasa Arab. Mulailah dengan kata-kata pendek.
Misalnya, untuk mengenalkan tiga kata alif, ba, dan dal anak diminta menulis a, ba da (tolong tuliskan Arabnya, ya: a-ba-da) ertinya diam; ba-da-a (yang ini juga) ertinya mulai; dan sebagainya.

Sesekali di rumah, cuba adakan lumba menulis ayat al-Quran. Berilah hadiah untuk anak yang paling kemas menulis. Jika anak memiliki kemampuan yang lebih dalam menulis huruf al-Quran, mereka boleh diajari lebih lanjut dengan mempelajari seni kaligrafi. Rangkaian huruf menjadi sukukata yang mengandungi erti bertujuan untuk melatih anak dalam memperkaya kosakata, di samping memberikan kesempatan bagi mereka untuk bertanya tentang setiap kata yang diucapkan serta mengembangkan cita rasa seni mereka.
Jadi, tidak hanya bertujuan mengenalkan huruf al-Quran semata-mata.

06.Mengkaji
Ajaklah anak mula mempelajari isi al-Quran. Ayah boleh memimpinnya setelah solat maghrib atau subuh. Paling tidak, seminggu sekali pelajaran sekeluarga ini dilakukan.
Tajuk yang diketengahkan boleh jadi tajuk-tajuk yang ingin disampaikan berkaitan dengan perkembangan perilaku anak selama satu minggu atau beberapa hari. Kajian bersama, dengan merujuk pada satu atau dua ayat al-Quran ini, sekaligus dapat menjadi sarana tawsiyah untuk seluruh anggota keluarga.

Pada waktu yang sama, tajuk yang akan dikaji boleh diserahkan kepada anak-anak.
Adakalanya anak diminta untuk memimpin kajian. orang tua boleh memberi arahan atau pembetulan jika ada hal-hal yang kurang tepat. Cara ini sekaligus untuk melatih keberanian anak menyampaikan isi al-Quran.

07.Mengamalkan dan memperjuangkan
Al-Quran tentu bukan hanya untuk dibaca, dihafal dan dikaji. Justeru yang paling penting adalah diamalkan seluruh isinya dan diperjuangkan agar benar-benar dapat menyinari kehidupan manusia. Sampaikan kepada anak tentang kewajiban mengamalkan serta memperjuangkan al-Quran dan pahala yang akan diraihnya. InsyaAllah, hal ini akan memotivasikan anak. Kepada anak juga boleh diceritakan tentang bagaimana para Sahabat dulu yang sangat teguh berpegang pada al-Quran; ceritakan pula bagaimana mereka bersama Rasulullah sepanjang hidupnya berjuang agar al-Quran tegak dalam kehidupan.


Sumber - Artikel iluvislam.com
-->> Baca Seterusnya

17 February 2012

Mendidik Anak Bersolat

Usaha mengajar anak-anak solat merupakan satu usaha yang berpanjangan dan memerlukan komitmen yang tinggi dari ibu bapa. Ibu bapa perlulah sentiasa bersabar dan terus bersungguh-sungguh sehingga solat menjadi darah daging anak-anak. Usaha ini mestilah dimulakan sejak anak-anak masih kecil bak kata pepatah, lenturlah buluh dari rebungnya.

Anggaplah solat ini satu perkara yang tidak kurang pentingnya berbanding pencapaian-pencapaian lain di dalam hidup anak-anak. Kita mengimpikan anak-anak yang soleh yang bakal mendoakan kita setelah kita meninggal dunia nanti. Jika mereka tidak solat, bilakah masanya mereka akan mendoakan kita.

Di sini dikongsikan tips-tips mengajar anak-anak solat, moga bermanfaat!
Berdoa

Sesungguhnya doa itu senjata orang-orang mukmin, maka untuk mendapat anak yang sentiasa melaksanakan solat , jadikanlah doa-doa sebagai  kebiasaan kita. Antara doa yang boleh kita amalkan ialah :

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."

"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.."

Bacakan doa ini sentiasa dan biarkan mereka mendengarnya, berdoalah sejak mereka belum lahir sehinggalah mereka sudah dewasa. Moga-moga mereka akan terus istiqamah dengan solat sehinggalah ke akhir hayat mereka.


Membiasakan anak-anak dengan solat 

 Umur 0-2 tahun
 Ketika anak masih kecil, letakkan anak berhampiran dengan tempat kita solat supaya dia melihatkan kita solat sejak kecil. Katakan kepadanya : "Sekejap ya sayang, ibu/ayah nak solat sebentar"

umur 2-4 tahun
Selalu mengajak mereka untuk solat bersama : "Sekarang dah masuk waktu maghrib, Jom kita solat!" Ajak saja, dia mahu mengikut atau tidak itu perkara kedua, yang penting biar mereka terbiasa dengan ajakan kita.

Sediakan tudung kecil untuk anak perempuan, kopiah atau songkok untuk anak lelaki. Pakaikan mereka dengannya dan katakan kepadanya "Wah! Cantiknya adik pakai tudung untuk solat." Mungkin mereka hanya memakainya tidak sampai satu minit, tapi tidak mengapa, senyum sahaja kepada mereka. Ulangi perbuatan ini sehinggalah mereka sendiri yang meminta tudung/kopiah/songkok apabila kita mengajak mereka untuk solat

Berikan pelukan dan ciuman yang paling hangat kepada mereka jika mereka mngikut kita solat. Tidak kisahlah walau berapa rakat sekali pun. Kadang kala, mereka hanya mengangkat takbir kemudian melompat dan pergi bermain, walau sekecil mana perbuatan mereka mengikut kita solat, berikan kata penghargaan seperti : "Solehnya anak ibu hari ni, adik ikut ibu solat!"

Jika anak-anak memanjat kita semasa kita solat, janganlah dimarahi mereka kerana Saidina Hassan dan Hussin juga pernah melakukan perkara yang sama kepada Rasulullah s.a.w sehingga memaksa Rasulullah untuk sujud lebih lama daripada biasa. Apabila ditanya oleh para sahabat, Rasulullah mengatakan bahawa baginda tidak mahu cucu baginda terjatuh andai terus bangun. Namun, pastikan anak-anak kita suci dari najis sebelum kita solat supaya tidak terbatal solat kita terkena najis mereka. Nasihatilah mereka dari hari ke hari dengan penuh hikmah dan lemah lembut.

Jangan sesekali berkata kepada anak : "Pergi main jauh-jauh, ibu/ayah nak solat." Kata-kata demikian dibimbangi akan menjadikan anak-anak menganggap bahawa solat itu mengganggu hubungan mereka dengan ibu bapa mereka.


Mengajar anak solat

Umur 5-6 tahun
Ajarkan mereka bacaan dan pergerakan solat yang betul. Jika ibu bapa tidak mampu, hantarlah mereka ke Tadika/tempat pengajian yang mengajar anak-anak solat. Solat secara praktikal di sekolah sangat membantu anak-anak belajar solat dengan lebih bersemangat dan gembira.

Praktikal solat yang dibuat di Tadika Nursyifa, sangat membantu anak-anak belajar solat. Yang paling melucukan, anak-anak ini akan berebut untuk menjadi imam, bukti keyakinan mereka untuk menjadi ketua!

·         Sesekali ajaklah mereka ke masjid  atau surau untuk solat berjemaah, namun ingatkan mereka selalu untuk menjaga adab-adab di rumah Allah.

·         Terangkan kepada mereka tentang kefardhuan dan kepentingan  solat bagi setiap orang Islam supaya dia solat bukan hanya ikut-ikutan tetapi kerana kefahaman yang betul.

·         Ceritakan juga kelebihan dan ganjaran bagi orang-orang yang solat.

·         Boleh galakkan mereka solat dengan menonton video-video yang bersesuaian.

·         Sediakan carta solat, dan berikan mereka sticker setiap kali mereka berjaya melaksanakan solat. Sentiasa galakkan mereka untuk solat pada setiap waktu.
Contoh carta solat yang boleh dibuat untuk anak-anak, stiker-stiker comel diberikan setiap kali anak-anak berjaya solat.

Kad ucapan tahniah yang pernah saya berikan kepada anak kerana bangun solat subuh di pagi yang dingin.

·         Sekali sekala, kejutlah mereka untuk solat subuh, walaupun mungkin mereka akan sujud dan terus tertidur, tidak mengapa, bukankah ini hanya masa untuk mendidik mereka.

·         Jika mereka tidak mampu solat subuh pada waktunya, suruhlah mereka solat sebaik sahaja bangun tidur, tidak kisahlah jam berapa, yang penting solat.

·         Bagi ibubapa yang bekerja, biasakan bertanya anak : "Adik dah solat?" selain dari pertanyaan kita berkenaan dengan makan, kerja sekolah dan sebagainya sebaik sahaja kita pulang ke rumah. Biar mereka biasa dengan soalan itu dan mereka dapat merasakan betapa pentingnya solat dalam diari kehidupan seorang muslim.

·         Jika ibubapa menelefon anak, selain bertanya khabar, tanyakan juga tentang solat mereka.


Bersama memupuk istiqamah

Umur 7-10 tahun
Sebaik sahaja anak menginjak usia tujuh tahun, katakan kepadanya : "Bermula tahun ini, adik sudah tujuh tahun, jadi adik mestilah solat lima kali sehari. Tidak boleh tinggalkan solat lagi, tujuh tahun hingga sembilan tahun merupakan tahun latihan solat untuk adik. Jika adik meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun nanti, ayah dah boleh rotan adik. Jadi adik kena berlatih bersungguh-sungguh ok?"

Pastikan anak-anak solat 5 waktu sehari semalam walau apa jua masalah yang melanda. Jika kita biarkan dia meninggalkan solat walaupun sekali, anak-anak akan merasakan tidak bersalah jika meninggalkan solat.

Nyatakan kepada mereka tentang realiti masyarakat sekarang yang meringan-ringankan solat, tetapi kita tak mahu jadi seperti mereka. Ceritakan tentang kisah-kisah para sahabat dan orang-orang yang hebat kerana menjaga solat mereka.

Sentiasa bercerita tentang ganjaran syurga yang dikurniakan kepada orang-orang yang menjaga solat

Ceritakan juga kepada mereka tentang peranan syaitan yang akan mendatangkan rasa malas untuk solat. Jadi kita kena lawan!

Jika anak bertanya kepada ibu kenapa tidak solat semasa haid, beritahu perkara sebenar, jangan pula katakana kepadanya anda sakit perut. Nanti dia fikir, kalau sakit perut tak payah solat.. Haru dibuatnya!

Mantapkan solat anak-anak dengan mengajar hukum-hukum berkaitan dengan solat seperti rukun-rukun solat, syarat sah solat dan sebagainya, termasuk juga hukum bersuci
Solat tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama. Sama-sama kita mendidik anak-anak dengan panduan yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan anak-anak akan menjadi saham yang terbaik buat kita di akhirat kelak.

Wallauhua 'lam

- Artikel iluvislam.com
-->> Baca Seterusnya

09 November 2010

Maksud Kaya Hati

Apakah yang dimaksudkan dengan kaya jiwa atau kaya hati?


Kaya hati bermaksud, hati itu mampu bersabar apabila ditimpa kemiskinan dan mampu bersyukur apabila mendapat kekayaan & kesenangan. Dalam apa jua keadaan, orang yang memiliki hati sedemikian akan mendapat ketenangan dalam hidupnya. Ketenangan inilah yang menjadi asas dan teras pada kekayaan hakiki pada seseorang individu. Dan Maha Adil Tuhan yang telah menentukan behawa kekayaan hati itu dapat dimiliki oleh sesiapa sahaja tidak kira si miskin atau si kaya. Asalkan sahaja hati itu dihubungkan dengan Allah, maka hati itu akan tenang.
Firman Allah:


“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”             (Ar-Ra’d:28)


Soalnya bagaimana hati seseorang boleh menjadi tenang dengan mengingati Tuhan?
Apabila hati mengingati tuhan maka seseorang itu akan sedar, insaf dan faham apakah maksud ketentuan dan takdir Tuhan yang telah menimpa pada dirinya. Apabila ditimpa musibah, katalah kemiskinan, dia sedar bahawa itu adalah ketentuan daripada Allah yang wajib diterima atas sifatnya sebagai hamba Allah. Walaupun dia telah berusaha gigih dan sekuat yang mungkin, jika ditakdirkan miskin…diterimanya ketentuan itu dengan hati yang sabar.


Dalam hatinya dia berkata “Takdir sentiasa atasi tadbir. Tentu ada hikmah disebalik kepahitan ini.” Dia tidak akan menyalahkan dirinya, orang lain, apalagi Tuhan atas nasib yang menimpanya. Kerana apa? Kerana dia sedar, sebagai hamba dia hanya mampu berusaha tetapi ketentuan di tangan Allah.

Maka dengan keyakinan yang sebegini, seseorang itu akan merasai satu ketenangan dan kelapangan yang menjadikan dia tidak mudah untuk marah-marah dan kecewa dalam hidupnya. Dia yakin, semua takdir Allah itu adalah baik kerana ia datang daripada Allah (Yang Maha Pengasih) walaupun jika dilihat secara lahiriahnya kelihatan negatif. Sebab itu kita diajar mengucapkan “innalillahi wa inna ilaihiraaji’un” – Kami datang daripada Allah dan kepada Allah jua kami akan dikembalikan. Tegasnya, ucapan ini mengingatkan kita bahawa kita adalah hamba-Nya.

Maka jika sedar akan hakikat itu, layakkah kita sebagai hamba untuk memberontak menentang ketentuan Allah?

Sahabat sekalian, kita sering mendapat kurniaan nikmat daripada Allah. Apabila kita mendapat sesuatu, kita diajar untuk mengucapkan terima kasih. Kita memuji pemberi tersebut. Begitu juga apabila Allah memberi kurniaan, kita diajar mengucapkan Alhamdulillah – segala puji bagi Allah. Sepatutnya kita merasakan apa jua pemberian itu datangnya darpada Tuhan. Jika tidak, kita mungkin ditimpa oleh dua kemungkinan – rasa sombong dengan pemberian itu atau belum puas dengan apa yang diberikannya.

Dalam hidup kita, kita tidak akan boleh lari daripada dua keadaan ini. Sama ada dalam keadaan senang ataupun keadaan sempit dan susah. Permasalahan yang timbul ialah bagaimana seseorang itu berdepan dengan situasi sebegini.

Ya, jika direnung dalam-dalam, ramai manusia pada hari ini, tidak kira di mana jua, sesiapapun(termasuklah saya), pada bila-bila masa pun, telah pun mengalami ‘sakit rohani’ atau sakit hati. Memang, itulah sifat sabar dan syukur yang jarang dimiliki oleh manusia.


Manusia kerap bersifat keluh-kesah apabila ditimpa musibah, tetapi lupakan diri apabila memperoleh nikmat. Oleh sebab itu, manusia sering berasa tidak tenang dan sering rasa menderita dalam apa jua keadaan pun. Dalam pepatah hukama ada mengatakan “Barang siapa yang tidak merasa cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak."

Orang yang sentiasa melihat pemberian itu daripada hati yang sihat, akan tahu erti kesabaran dan syukur dalam erti kata yang sebenarnya. Kekayaan hati dan jiwa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seorang manusia untuk berhadapan dengan 2 situasi itu. Apabila memperoleh nikmat, dia bersyukur, apabila menghadapi musibah dia bersabar. Dia percaya semua adalah ujian daripada Allah. Dalam dua keadaan, dia berjaya menghadapinya dengan tenang. Apabila dua kata yang berbeza bercantum akan menjadi satu. Dua kata itulah sabar (dengan ketentuan Allah) dan syukur (dengan pemberian Allah) akan melahirkan ketenangan hati yang sebenarnya.

Kesimpulannya, carilah kekayaan hati disamping mengejar kekayaan yang lain. Kaya jiwa bukan sahaja menjamin hidup kita diakhirat, bahkan menjamin keselamatan kita di dunia lagi. Ingat, Ketenangan didunia adalah bayangan kekayaan di akhirat. Bukankah hadis mengatakan ‘dunia adalah tanaman akhirat?’. Janganlah merebut kekayaan dunia kerana ia akan membawa kepada huru-hara. Dunia itu sentiasa menipu manusia. Sebab itu orang yang mengejar dunia semata-mata akan melahirkan hati yang tidak tenang dan sering memberontak dengan ketentuan Tuhan. Itulah yang dinamakan ‘miskin hati’. Sudahlah ‘miskin’ di dunia malah cerminan warga miskin di akhirat nanti! Nauzubillah…

“Carilah syurga yang disegerakan di dunia (Al-Jannatul Ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!” –kata ahli sufi-

 

Sumber: Kembara Matahati

-->> Baca Seterusnya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...