.: Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang :.
"4 Lil One sebuah blog yang menghimpunkan pelbagai artikel daripada web dan media cetak yang didedikasikan khas untuk memberikan maklumat, panduan dan bimbingan serta perkongsian pengalaman mengenai Kehamilan, Penyusuan Susu Ibu, Penjagaan Bayi dan Kanak-kanak, Pemakanan serta aktiviti-aktiviti yang berkaitan kekeluargaan. Semoga info-info di blog ini dapat membantu ibu bapa semua terutamanya 1st time parent."
Showing posts with label Info Bayi. Show all posts
Showing posts with label Info Bayi. Show all posts

10 August 2012

10 Info Tentang Bayi Yang Anda Perlu Tahu

Sumber: http://www.radioinformasi.com
1. Sekitar usia 3 bulan, bayi mula menelan air ketuban dan mengeluarkannya kembali sebagai air kencing. Ini untuk melatih sistem pencernaan dan perkumuhannya.

2. Bayi boleh menangis sejak di dalam perut lagi. Sekitar usianya 3 bulan, peti suara sudah mula terbentuk dan bayi sudah mula menangis tetapi dalam diam.

3. Seawal usia 4 bulan, bayi mula meneroka ruang di sekelilingnya. Dia mula bermain dgn tali pusatnya, menghisap ibu jarinya sendiri, berenang-renang, menendang sekelilingnya dan berpusing-pusing di dalam kantungnya. Tetapi lazimnya ibu yang baru pertama kali hamil tidak akan menyedari pergerakan bayi sehigga usianya 5 bulan.

4. Ketika usianya memasuki 4 bulan, bayi akan mula tersedu untuk melatih sistem pernafasan. Bila bayi tersedu, ibu dapat merasakan getaran halus atau denyut halus di perut.

5. Pada usia 5 bulan, bayi mula memberi reaksi kepada bunyi di luar perut ibunya dan akan menutup telinga dengan tangannya sendiri apabila mendengar bunyi kuat.

6. Sekitar usia 6 bulan, memori bayi mula terbentuk dan bayi dapat mengingati dan mengenali suara ibu bapanya dan mula meneroka anggota tubuh badannya.

7. Seperti kita, bayi di dalam perut juga bermimpi seawal usianya 7 bulan. Aktiviti bermimpi ini akan melatih perkembangan otak bayi.

8. Apabila otaknya sudah terbentuk, bayi akan dapat merasai kesakitan sejak di dalam rahim lagi. Apabila ibu tertekan atau stress, emosinya juga terganggu dan menyekat perkembangan mentalnya.

9. Sebaik sahaja deria rasanya terbentuk, bayi juga dapat merasa makanan yang dimakan oleh ibunya dan boleh mengerutkan dahinya dan memuncungkan mulutnya sebagi reaksi kepada rasa pelik makanan yang dimakan oleh ibu.

10. Sebaik sahaja lahir, pertama kali bayi membuka mata, anak matanya akan membesar untuk menampakkan kecomelannya untuk memikat hati orang di sekeliling terutama ibu bapanya. Sebab itulah bayi nampak comel.
-->> Baca Seterusnya

12 November 2010

Pelindung ibu dan bayi

Sumber: Norlaila Hamima Jamaluddin (2010). Pelindung ibu dan bayi. MyMetro. 1 Ogos.



“TERLALU sikit, puas cuba beri anak susu badan tetapi dia macam tak puas, asyik menangis saja. Akhirnya saya dan suami mengalah, berikan Aina susu formula. Lebih senang, terutama bagi saya yang kerap bertugas di luar daerah. Kalau dipaksa beri, payudara saya yang terasa sakit.

“Kawan cerita, mereka tidak cukup tidur malam kerana terlalu kerap bangun menyusukan anak,” kata seorang wanita ketika menunggu giliran untuk pemeriksaan bulanan kehamilan.
Terpaksa bangun malam menyusukan anak? Letih dan mengantuk pada siang hari? Ia bukan masalah, sebaliknya itulah keistimewaan menjadi ibu, kata Sheemi Mayanti Abdul Jalil, 29, yang menyusukan anak sulungnya secara eksklusif selama enam bulan.
Kini dia masih meninggalkan bekalan susu badan (yang dipam setiap hari) walaupun anaknya berumur 17 bulan. Tiada susu formula untuk si kecil kerana Sheemi percaya susu ibu jauh lebih baik daripada susu formula paling mahal di pasaran.

Jika hendak bercerita kebaikan, semua wanita terutama yang bergelar ibu, sudah tahu. Malah maklumat mengenai manfaat dan kebaikan susu ibu berlambak di Internet dan saban tahun dipaparkan di semua media setiap kali menjelang Minggu Penyusuan Badan bermula hari ini hingga Sabtu depan (7 Ogos). Manfaat memberi susu badan akan dinikmati ibu dan anak.

Bagi anak, dia mendapat semua khasiat diperlukan sesuai dengan umurnya. Susu ibu adalah makanan lengkap untuk bayi dan tiada susu formula yang mampu menyaingi kehebatan susu ini kerana ia mengandungi antibodi untuk melindungi bayi daripada jangkitan penyakit.
Ia juga membantu perkembangan otak dan sistem saraf bayi. Bayi yang diberi susu badan juga menunjukkan perkembangan psikomotor (hubungan antara otot dan otak) dan emosi lebih baik.
Bayi yang diberi susu badan kurang mengalami masalah alahan berbanding bayi yang membesar dengan susu formula. Penyusuan badan juga sebenarnya merangsang pembentukan rahang bayi dan mengurangkan masalah gigi berlubang.

Tahukah anda, susu formula mengandungi gula walaupun rasanya tidak manis, dan ini sebabnya kebanyakan kanak-kanak yang diberi susu formula, terutama sejurus sebelum tidur, mempunyai masalah gigi reput dan berlubang.

Itu sebahagian daripada manfaat untuk bayi. Pada ibu, penyusuan badan mempercepatkan penyembuhan luka dan pengecutan rahim supaya kembali ke saiz asal serta menghentikan pendarahan selepas bersalin, kata Penasihat Penyusuan Badan Hospital Assunta, Sister Vara Letchime.

“Ia membentuk ikatan perasaan antara ibu dan anak, mengurangkan risiko berlakunya kemurungan selepas bersalin atau meroyan. Memang kebanyakan wanita berasa sedih selama beberapa hari selepas bersalin. Ia perkara biasa, tetapi kesedihan ini hilang perlahan-lahan apabila ibu menyusukan bayi mereka.

“Memberi susu badan sebenarnya memberi lebih kebebasan untuk anda pergi berjalan dan tidak perlu bimbang kehabisan stok kerana ia ada di badan anda.

“Selagi anda mengamalkan pemakanan seimbang dan sihat, anda menghasilkan susu yang baik untuk anak. Uniknya komponen susu badan ini berubah-ubah mengikut pertambahan usia anak,” katanya.

Penyusuan badan juga memberi perlindungan tambahan kepada ibu kerana ia mengurangkan risiko mendapat kanser payudara dan ovari — dua jenis kanser wanita paling ditakuti.
Kanser payudara memberi banyak kesan kepada penampilan dan psikologi seseorang wanita manakala kanser ovari dikelaskan sebagai kanser paling teruk kerana ia sukar dikesan.
Satu perkara penting yang perlu anda ketahui ialah penyusuan badan adalah cara terbaik untuk menurunkan berat berlebihan yang anda ‘kumpul’ sepanjang tempoh kehamilan.
Kajian mendapati setiap kali anda menyusukan bayi, kira-kira 500 kalori hilang tanpa perlu bersusah payah bersenam. Pada keadaan biasa kita perlu berlari atau naik tangga selama 64 minit; joging atau berbasikal (72 minit); senaman aerobik (90 minit) atau dua jam berbasikal untuk membakar kalori sebanyak itu.

Susu terlalu sikit?
Menurut Vara, isu ketiadaan susu atau susu badan terlalu sedikit hanya mainan psikologi. Setiap wanita yang melahirkan anak dianugerahkan Tuhan dengan makanan untuk bayi (susu).

Pengeluaran susu badan berlandaskan konsep ada permintaan, baru ada penghasilan. Maknanya jika bayi tidak diberi susu badan, penghasilan susu berkurangan dan berhenti selepas satu tempoh tertentu.

“Ramai wanita anggap kemahiran menyusukan bayi datang secara semula jadi selepas melahirkan anak. Kemahiran ini perlu dipelajari; baru anda dapat menyusukan bayi dengan baik dan ia secara tidak langsung menggalakkan penghasilan susu badan,” katanya.
Apa perlu dilakukan? Teruskan penyusuan walaupun anda berasakan susu yang keluar sangat sedikit. Bayi anda bijak, dia akan hisap susu dan berhenti apabila terasa kenyang; tidak akan tahu berapa banyak susu masuk ke dalam perutnya. Kuantiti yang anda rasakan ‘sedikit’ itu mungkin cukup untuknya untuk sekali susuan.

Pada awalnya susu yang keluar memang sedikit. Teruskan memberi rangsangan (menyusu bayi dengan betul); pengeluaran susu akan lebih tetap selepas tiga hari melahirkan anak.
Beberapa faktor boleh mempengaruhi pengeluaran susu seperti kurang rangsangan, cemas dan bimbang, merokok, minum minuman beralkohol, kurang keyakinan serta tidak mendapat sokongan, khususnya daripada suami dan ahli keluarga, untuk menyusukan bayi.
Ada yang bertanya adakah makanan khusus yang boleh meningkatkan penghasilan susu badan? Tiada. Yang perlu dilakukan hanya mengamalkan pemakanan seimbang dan banyakkan minum air; sekurang-kurangnya satu hingga satu setengah liter sehari.
“Wanita yang menyusukan anak memerlukan lebih kalori (300 hingga 500 kalori) berbanding wanita lain. Cara mendapatkannya ialah makan kerap iaitu lima hingga enam kali sehari dan lebihkan pengambilan protein.

“Larangan makan ayam kerana takut gatal, terutama bagi wanita yang bersalin melalui pembedahan, sebenarnya tidak praktikal kerana ayam mengandungi protein yang sangat diperlukan untuk penyembuhan luka. Kalau tidak mahu makan ayam, kena ganti dengan sumber protein lain.

“Susu yang dirumus untuk ibu juga baik bagi membantu wanita mendapat kalori harian secukupnya kerana ia biasanya mengandungi vitamin D, asid folik dan mineral. Ramai bertanya mengenai makanan yang perlu dielak ketika menyusukan bayi.
“Tiada kaedah khusus untuk menentukannya, ia diketahui melalui kaedah cuba – kalau nampak bayi tidak selesa, periksa balik apa makanan yang anda ambil,” kata Perunding Pemakanan, Siti Wahida Mhd Halil.

Bagaimanapun, Siti Wahida mengingatkan wanita supaya tidak mengambil ubat atau persediaan herba sebelum atau selepas bersalin kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak pendarahan ketika bersalin secara normal atau pembedahan. Pengambilan persediaan herba ini dibenarkan enam minggu selepas bersalin.

Cara meningkatkan pengeluaran susu:
> Letakkan bayi dekat pada payudara

> Jangan berikan puting getah pada bayi, kerana ia boleh mengelirukannya dan mengurangkan masa menghisap susu badan

> Galakkan bayi menyusu sekerap mungkin. Lebih kerap anda menyusukan bayi, lebih banyak susu akan dihasilkan
> Penghasilan susu berlandaskan konsep ada permintaan, ada bekalan
> Jangan hadkan kekerapan menyusukan anak

> Beri susu dari kedua-dua belah payudara. Jangan tertumpu pada sebelah saja supaya penghasilan susu setara

> Rehat sebanyak mungkin dan bertenang ketika menyusukan bayi bagi melancarkan aliran susu

> Jangan berasa terpaksa menyusukan anak dan tidak sabar menunggu anak habis menyusu. Beri masa kepada anak dan diri sendiri kerana ia proses belajar untuk anda berdua

Cara penyusuan yang betul
> Letak bayi pada posisi selesa (sama ada anda berbaring mengiring) atau duduk dengan memangkunya

> Pastikan kedudukan anda juga selesa

> Sentuh mulut bayi dengan puting anda sehingga dia membuka mulutnya. Dekatkan bayi ke dada dan pastikan puting serta bahagian areola masuk sepenuhnya dalam mulut bayi

> Jika bayi atau ibu nampak tidak selesa, tarik puting daripada mulut bayi dan mulakan semula

> Susukan bayi hingga dia kenyang iaitu sehingga bayi melepaskan puting ibu secara spontan

> Selepas selesai penyusuan di sebelah payudara, beri bayi susu daripada payudara sebelah lagi

> Tanda penyusuan betul ialah apabila mulut bayi terbuka luas, dagunya menyentuh payudara ibu, bibir bawah dalam keadaan normal (tidak terlipat ke dalam mulut) dan anda boleh lihat tindak balas ketika menyusu

Masalah biasa penyusuan badan
Antara masalah yang sering dialami wanita ialah payudara bengkak kerana banyak susu. Cara mengurangkan bengkak ialah dengan menyusukan bayi dengan kerap dan mengepam susu (supaya ia boleh disimpan dan diberi kepada anak kemudian).

Jika bengkak masih tidak hilang, tuam payudara dengan tuala yang direndam dalam air hangat (elak terkena puting dan areola iaitu bahagian berwarna gelap sekeliling puting). Ulang beberapa kali sehingga rasa sakit dan bengkak berkurangan. Anda juga boleh mengurut payudara perlahan-lahan ke arah puting untuk merangsang aliran susu.

Pada masa sama wanita kerap menghadapi masalah puting terasa sakit dan pedih. Ia mungkin disebabkan beberapa perkara seperti:

> Kaedah penyusuan yang tidak betul
> Keradangan akibat fabrik pakaian
> Menarik bayi menjauhi payudara ketika mulutnya masih tertutup — tindakan ini boleh menyebabkan geseran kuat pada puting

Cara mengatasi:
> Belajar cara penyusuan yang betul. Pastikan puting dan bahagian areola masuk ke dalam mulut bayi. Cara betul untuk menarik payudara daripada bayi anda ialah dengan menekan dagu bayi perlahan-lahan supaya mulutnya terbuka. Kaedah ini dapat mengurangkan geseran pada puting

> Mulakan penyusuan di belah payudara yang tidak sakit kerana pada ketika ini daya sedutan dari mulut bayi anda lebih kuat

> Tuam tuala panas di sekeliling payudara sebelum memulakan penyusuan untuk merangsang pengeluaran susu

> Sapukan sedikit susu pada payudara anda terutama di bahagian areola untuk melicinkan dan melegakan tisu

> Sapukan krim jika perlu (selepas penyusuan) Bila susu perlu dipam? Menurut Vara, ia boleh dilakukan dalam beberapa keadaan seperti bayi tidak cukup matang untuk menghisap susu atau memerlukan susu anda (contohnya kes bayi lahir tidak cukup bulan); payudara menjadi bengkak dan ibu bercadang kembali bekerja.

“Wanita yang hendak kembali bekerja disaran memerah susu dua minggu lebih awal untuk membiasakan bayi menerima susu dari botol. Pada suhu bilik, susu diperah boleh bertahan sehingga lapan jam dan 24 hingga 48 jam jika disimpan dalam peti sejuk bahagian bawah.
“Susu boleh tahan hingga tiga bulan jika disimpan di bahagian dingin beku (bagi peti sejuk dua pintu). Pastikan susu ini tidak diletakkan di bahagian pintu kerana suhu berubah setiap kali ia dibuka.

“Ketika di tempat kerja, pam susu anda beberapa kali sehari mengikut keperluan. Lakukan juga pada waktu malam sebelum tidur supaya bayi anda mempunyai bekalan susu yang cukup ketika anda tiada di rumah.

“Pada hujung minggu pun kalau boleh pam juga susu, untuk memastikan bekalan susu sentiasa ada. Ini yang saya lakukan sehingga anak berusia lebih setahun.

“Saya tidak pernah beri anak susu formula kerana yang lebih baik sudah ada, lagi pun ia percuma. Dalam hal penjagaan anak, terutama penyusuan dan pemakanan, saya memang ikut buku.

“Malah ayah dan suami adalah orang paling sibuk memastikan si kecil mendapat khasiat susu ibu sepenuhnya,” kata Sheemi yang masih mengekalkan bentuk badan seperti ketika anak dara dulu.
-->> Baca Seterusnya

MAma oh Mama! Awas puting bayi!

Sumber: Awas puting bayi!. Kosmo! Online


PENGGUNAAN puting bayi perlu dielakkan sejak peringkat awal lagi.


ADAKAH anak anda menggunakan puting bayi? Jika ya, anda mungkin perlu menghadapi kenyataan yang pahit hasil penemuan terkini bidang perubatan.
Kanak-kanak yang menggunakan puting bayi sebenarnya berisiko tiga kali ganda menghadapi kesukaran bercakap ketika usia mereka menjelang dewasa kelak.
Kajian saintis mendapati kanak-kanak prasekolah yang menggunakan puting bayi sekurang-kurangnya selama tiga tahun lebih cenderung mempunyai kesukaran membuat ucapan berbanding kanak-kanak yang langsung tidak menggunakan alat tersebut.
Penyelidikan tersebut turut membuktikan kanak-kanak yang menghisap jari juga menghadapi risiko lambat bercakap.
Kajian yang dijalankan sebelum ini oleh The American and Chilean adalah bagi mengetahui hubung kait antara tabiat suka menghisap ibu jari, penyusuan ibu dan penggunaan puting bayi bagi menenangkan bayi terhadap 128 orang kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun.
Mereka juga menggunakan ujian linguistik bagi mengenal pasti tahap normal perkembangan kebolehan bertutur dalam kalangan kanak-kanak tersebut terutama yang melibatkan sebutan dan bunyi huruf.Menurut ketua penyelidik dari Universiti Washington, Dr. Clarita Barbosa, kanak-kanak yang menghisap jari, ibu jari atau puting bayi untuk tempoh sekurang-kurangnya selama tiga tahun akan mengalami gangguan dari segi perkembangan bahasa dan pertuturan sehingga tiga kali ganda.
Berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu sehingga mencecah usia sembilan bulan dan langsung tidak menggunakan botol susu, risiko terhadap mereka amat rendah.
“Hasil ujian ini menjelaskan bahawa lebih lama penggunaan puting bayi, kesukaran untuk bertutur akan semakin meningkat,” jelas Barbosa.
Tambahnya, walaupun keputusan ini memerlukan bukti yang lebih mendalam terutama melibatkan jangka masa penyusuan ibu, orang ramai harus melihatnya sebagai langkah berjaga-jaga.
Perdebatan mengenai penggunaan puting bayi tersebut telah lama merunsingkan ibu bapa kerana sesetengah kanak-kanak amat selesa menggunakan puting tersebut bagi menenangkannya.
Doktor gigi bagaimanapun berkata, penggunaan puting bayi pada keadaan tertentu berupaya mengubah pembentukan gigi apabila digunakan terlalu lama.
Kajian itu dilakukan oleh sebuah pasukan dari de Rehabilitacion Club De Leones Cruz del Sur dan Universiti Washington. Ia diterbitkan dalam jurnal BMC Paediatrics.

Penggunaan secara berlebihan
Penggunaan puting bayi secara berlebihan, secara salah atau terlalu lama sehingga Penggunaan puting bayi secara berlebihan, secara salah atau terlalu lama sehingga melangkaui zaman persekolahan boleh membawa kepada masalah mulut dan gigi.
Gejala-gejalanya ialah:* Gigi beralih posisi – Gigi tertolak ke depan menyebabkan gigi bawah dan atas bahagian depan tidak bertemu dengan baik.* Kerosakan gigi (bahagian depan) – Berlaku jika puting bayi dicelup ke dalam bahan manis sebelum dihisap.* Bernafas melalui mulut – Anak anda mungkin akan lebih cenderung untuk bernafas melalui mulut berbanding hidung. Keadaan ini boleh menyebabkan anak mengalami masalah air liur meleleh berpanjangan.* Masalah pertuturan dan bahasa – Anak anda mungkin tidak dapat menggunakan sepenuhnya pergerakan lidah yang diperlukan untuk menghasilkan semua sebutan dan peluang mereka mungkin lebih tipis untuk menggunakan bunyi bagi tujuan berkomunikasi.* Menggalakkan anak berhenti menggunakannya – Kebanyakan kanak-kanak berhenti menghisap puting bayi, jari atau ibu jari pada umur antara dua dan empat tahun. Bagaimanapun, menghisapnya terlalu lama melebihi enam atau tujuh tahun (ketika gigi kekal sedang tumbuh) boleh mengakibatkan masalah gigi dan mulut.
-->> Baca Seterusnya

08 November 2010

Muntah: apa yang normal dan apa yang tidak normal

Sumber: BabyCenter Malaysia

Adakah ia normal jika bayi saya muntah?

Ia adalah biasa jika bayi anda muntah dengan kerap pada minggu-minggu awal apabila bayi anda sedang menyesuaikan diri kepada penyusuan dan tubuh badan mereka sedang membesar. Anda boleh tahu perbezaan sama ada bayi anda muntah atau hanya jeluak (mengeluarkan semula susu dengan jumlah yang sedikit) sebab apabila muntah, ia akan keluar dalam jumlah yang banyak. Ini juga akan menakutkan bayi anda, jadi mungkin dia akan menangis.


Semua perkara dari mabuk kereta hingga ketakcernaan boleh menyebabkan bayi anda muntah – walaupun jika hanya menangis atau batuk yang berterusan, ia akan merangsang refleks ini. Jadi bayi anda akan muntah dalam beberapa tahun pertamanya. Muntah selalunya akan berkurangan dalam masa enam hingga 24 jam selepas ia bermula, tanpa sebarang rawatan tertentu selain dari perubahan dalam diet. Sekiranya bayi anda sihat dan berat badannya bertambah, anda tidak perlu risau.

Bilakah saya perlu risau?

Semasa beberapa bulan pertama bayi anda, muntah adalah disebabkan masalah penyusuan seperti terlebih menyusu. Selepas beberapa minggu pertama, ia mungkin disebabkan oleh virus dalam perut walaupun muntah adalah tanda jangkitan dalam sistem respiratori, saluran urinari atau telinga. Apabila anak anda semakin membesar, ia mungkin adalah simptom penyakit yang lebih serius. Jangan teragak-agak untuk menghubungi doktor anda jika tanda-tanda berikut ada pada bayi anda:


• sakit abdomen yang teruk;


• abdomen yang bengkak;


• lesu atau meragam yang teruk;


• kekejangan;


• muntah berterusan yang teruk atau muntah berterusan selama lebih 24 jam;


• tanda-tanda penyahhidratan termasuk mulut yang kering, kurang air mata, kemurungan

"titik lembut" di kepala bayi anda dan kurang kencing (menggunakan kurang daripada enam lampin sehari dari kencing);


• darah atau hempedu (bahan berwarna hijau) dalam muntah;

Sedikit darah di dalam muntah selalunya tidak perlu dirisaukan. Ini boleh berlaku apabila kekuatan memuntahkan menyebabkan koyakan kecil dalam salur darah yang melapisi esofagus. Muntah bayi anda juga berwarna sedikit merah sebab dia telah menelan darah daripada luka di mulutnya atau hidung berdarah dalam masa enam jam sebelumnya. Tetapi hubungi doktor anda jika masih terdapat darah dalam muntahnya atau jika jumlah muntah bertambah banyak. Doktor mungkin mahu melihat sampel muntah jika ia mengandungi darah atau hempedu, jadi walaupun ia bukanlah satu tugas yang menyenangkan, anda perlu mengambil sedikit untuk simpanan. Hempedu hijau mungkin menunjukkan usus tersumbat, satu keadaan yang memerlukan rawatan segera.


• dan, muntah berterusan yang teruk pada bayi baru lahir dalam masa setengah jam selepas menyusu.


Ini mungkin disebabkan oleh stenosis pilorus, satu penyebab muntah yang jarang berlaku dan ini bermula apabila bayi anda berusia beberapa minggu tetapi boleh berlaku bila-bila masa sahaja sebelum dia mencecah usia empat bulan. Bayi akan muntah apabila otot yang mengawal injap dari perut ke dalam usus telah menebal sehingga ia tidak akan buka sepenuhnya untuk kemasukan makanan. Masalah ini mudah diatasi dengan pembedahan minor tetapi ia memerlukan rawatan perubatan segera.


Jangan terlalu risau mengenai perkara ini. Lambat-laun, setiap anak akan jatuh sakit dan selalunya ia tidak perlu dirisaukan kecuali jika dia muntah di atas kemeja baru anda. Seperti isu keibubapaan yang lain, anda akan biasa menghadapi semua ini.

Bagaimanakah saya perlu hadapi muntah?

Apabila bayi anda muntah, dia akan kehilangan banyak cecair. Penggantian cecair ini adalah penting supaya dia tidak akan ternyahhidrat. Berikan bayi anda larutan elektrolit (seperti Larutan Penghidratan Semula Oral tetapi tanya doktor anda untuk sebarang cadangan lain) atau cecair jernih atau jus epal yang telah dicairkan – semua ini mudah untuk diminum. Pakar-pakar telah mencadangkan pelan berikut:


• Apabila bayi anda telah berhenti muntah, berikan bayi anda air atau larutan elektrolit dalam jumlah yang sedikit (jika ada) setiap setengah jam hingga satu jam.


• Jika bayi anda boleh meminumnya, berikan dia sebanyak 2 auns / 50ml larutan elektrolit berselang-seli dengan 2 auns / 50ml cecair jernih setiap setengah jam.


• Selepas dia berjaya minum dos berikut tanpa muntah, tambah susu atau susu formula yang kurang pekat dan tambahkan kuantiti setiap susuan sehingga 3 atau 4 auns / 80-100ml setiap tiga atau empat jam.


Jika bayi anda tidak muntah dalam masa 12 hingga 24 jam, anda boleh berikan dia diet biasanya semula tetapi berikan dia cecair yang banyak. Mulakan dengan makanan yang mudah dicerna seperti bijiran atau yogurt. Anda juga boleh cuba berikan cecair jernih beku seperti lolipop ais jika anak anda berusia lebih daripada 12 bulan.


Tidur juga boleh menenangkan bayi anda; kandungan perut akan dikosongkan ke dalam usus semasa tidur, mengurangkan kehendaknya untuk muntah. Jangan berikan anak anda sebarang ubatan anti-loya (sama ada dipreskripsikan atau dibeli di kaunter) kecuali ahli pediatrik anda yang mempresripsikannya.

-->> Baca Seterusnya

Makanan Pertamaku…

Sumber: BabyCenter Malaysia

Apakah makanan bercerai susu yang sesuai dan bilakah diperkenalkan?

Makanan yang pertama

Kementerian Kesihatan menyarankan supaya anda menyusukan bayi anda sehingga usianya enam bulan. Selepas enam bulan, susu badan sahaja tidak mencukupi untuk memberikan bayi anda nutrien yang secukupnya terutamanya zat besi; jadi makanan lain diperlukan juga.


Menunggu selama enam bulan untuk memperkenalkan makanan pejal ke dalam diet bayi anda adalah baik sebab akan meminimakan risiko tindak balas berlawanan terhadap makanan dan

alergi. Ini menjadi amat penting jika terdapat peristiwa alergi dalam sejarah keluarga anda, sebab kebanyakan tindak balas berlawanan terhadap makanan, dan alergi dan penyakit seliak akan berkurangan jika anda menangguhkan cerai susu sehingga waktu tersebut.


Jika anda merasakan bayi anda sudah memerlukan makanan pejal sebelum enam bulan, berbincanglah dahulu dengan pakar pediatrik anda. Ini penting terutamanya jika bayi anda dilahirkan

pramatang. Pakar-pakar menegaskan bahawa makanan pejal tidak perlu diperkenalkan sebelum bayi anda berusia empat bulan (20 minggu).


Salah satu perkara pertama yang bayi anda perlu pelajari apabila tiba waktu bercerai susu ialah bagaimana menelan bahan “bukan cecair”. Justeru, untuk memastikan bayi anda tidak perlu terus menerima perisa baru dan juga menggunakan otot yang berbeza bagi menelan, maka makanan pertama paling biasa diberikan ialah nasi bayi yang tawar dicampur dengan susu bayi. Apabila bayi anda telah selesa dengan nasi dan susu, berikannya pula sedikit puri buah atau sayur. Kebanyakan panduan am menasihatkan supaya anda memperkenalkan satu jenis makanan pada satu-satu masa dan menunggu sekurang-kurangnya tiga hari sebelum memperkenalkan makanan lain supaya anda dapat mengetahui sama ada sesuatu makanan itu sesuai atau tidak bagi bayi anda.


Cubalah:
• puri sayur-sayuran seperti lobak, labu dan keledek;
• puri buah-buahan seperti mangga, betik atau pisang lenyek dan juga buah epal dan pir yang sudah dimasak;
• bijiran bayi yang bebas gluten seperti nasi bayi diperkaya dengan zat besi dan dicampur dengan susu bayi biasa;
• bubur nasi kosong yang dimasak di rumah.

Peringkat seterusnya

Apabila bayi anda nampak gembira disuap dengan sudu, tambahkan jenis makanan, seperti:
• puri lentil atau legum seperti sweet pea;
• puri sayur-sayuran campuran dengan ubi kentang atau nasi;
• puri yang terdiri daripada sayur-sayuran berdaun hijau seperti kobis, bayam, siew pak choy atau kailan.


Cuba berikan hanya satu hidangan puri manis atau bijiran dalam sehari dan berilah puri sayur-sayuran setiap masa. Jadikan makanan tersebut semakin pekat secara perlahan-lahan.


Pakar pediatrik anda mungkin akan menyarankan supaya anda menunggu sekurang-kurangnya enam bulan untuk memperkenalkan kacang soya, ikan dan buah-buahan sitrus; satu tahun untuk memperkenalkan telur dan susu lembu atau produk susu (keju dan yogurt); dan, dua tahun untuk memperkenalkan kerang-kerangan. Jika keluarga anda mempunyai sejarah alergi seperti

ekzema, asma atau alergi makanan; bayi anda perlu elak dari mengambil kacang tanah dan bijan sehingga usianya tiga tahun.


Risiko untuk mendapat penyakit seliak boleh dikurangkan dengan mengelakkan pengambilan makanan yang mengandungi

gluten, seperti gandum, rai dan makanan berasaskan barli. Ini termasuklah roti, tepung, pasta, sesetengah bijiran sarapan dan biskut rusk sehingga usia enam bulan. Sebaik-baiknya elakkan pengambilan oat sehingga usia bayi enam bulan sebab mungkin ia mengandungi serpihan gluten.


Elakkan susu untuk bayi yang lebih matang (susu tumbesaran) sehingga bayi anda sudah melepasi enam bulan.


Jangan masukkan

garam atau gula, madu atau pemanis lain ke dalam makanan bayi anda.

Dari tujuh hingga sembilan bulan

Mulai sekarang, keupayaan bayi anda untuk turut makan bersama dengan ahli keluarga kian meningkat. Dudukkan bayi anda di kerusi tinggi (kerusi budak) di meja makan apabila keluarga sedang makan.


Seandainya bayi anda mempunyai waktu makan yang lebih awal daripada ahli keluarga yang lain, adalah penting agar dia membiasakan diri dengan duduk bersantap di kerusi tingginya, apatah lagi memandangkan dia sudah boleh bergerak sekarang. Bayi-bayi yang makan semasa dalam posisi berbaring atau separuh berbaring dan anak-anak kecil yang dibenarkan berlari dengan makanan dalam mulut mungkin boleh tercekik!


Anda perlu memberikan bayi anda satu senarai makanan yang pelbagai untuk memenuhi keperluan nutriennya dan untuk membiasakan bayi anda dengan pelbagai perisa. Ini juga akan mengurangkan keperluan untuk mengelak makanan-makanan tertentu.


Sekarang tiba masa untuk memperkenalkan:
• Makanan yang dilenyek atau dikisar, bukan dipuri. Pastikan makanan mengandungi sedikit ketulan.


• Senarai pilihan makanan berkanji yang pelbagai – roti, pasta, roti pita, tosai, bijiran sarapan, oat, mi lembut atau mihun, ubi kentang, nasi dan milet. Berikan dua hingga tiga hidangan makanan berkanji dalam sehari.


• Air masak yang telah disejukkan dalam cawan atau bikar bermuncung lembut untuk diberikan apabila bayi anda dahaga, sebagai tambahan kepada susu ibu atau 500-600ml / 17-20 auns susu formula. Jika anda memilih untuk memberikan jus buah-buahan, berikan hanya pada waktu makan sahaja dan cairkan 1 bahagian jus kepada 10 bahagian air masak yang telah disejukkan dan gunakan jag atau cawan, dan bukannya botol. Memberikan jus semasa waktu makan akan membantu penyerapan zat besi dan mengurangkan risiko kerosakan pada

gigi yang mula tumbuh.


• Buah-buahan sitrus seperti buah oren.


• Telur yang dimasak sepenuhnya, ikan dan lentil. Berikan satu hidangan makanan yang kaya dengan protin dalam sehari.


• Produk tenusu seperti yogurt dan keju. Walaupun anda perlu menunggu sehingga bayi anda berusia setahun untuk memberikannya susu lembu, ia boleh digunakan dalam masakan anda atau dengan bijiran sarapan bayi anda, jadi sediakan sos keju untuk ditambahkan ke dalam sayur-sayuran atau pasta.

• Susu formula untuk bayi matang boleh diberikan jika anda mahu.


• Makanan yang perlu diambil dengan jari adalah bagus untuk bayi anda apabila ia sudah boleh memegang barang kerana ini memberi dia peluang untuk mengawal pemakanannya. Cuba berikan kacang hijau atau lobak yang dimasak, kiub keju, kepingan pisang atau buah pir yang lembut.

Dari usia 10 bulan

Hidangan bayi sudah lebih mirip dengan hidangan orang dewasa. Makanan perlu dipotong atau dikisar berdasarkan pola dua hingga tiga hidangan penuh sehari bersama dengan satu atau dua snek dan 500-600ml / 17-20 auns susu ibu atau susu formula. Pada peringkat ini, bayi anda perlu diberikan:


• tiga atau empat hidangan makanan berkanji sehari seperti nasi, mi, roti, pasta atau ubi kentang;


• satu hidangan daging, ikan, telur atau dua kekacang (lentil, pis, kekacang);


• satu atau dua hidangan keju atau yogurt dan juga susu ibu atau susu formula.

Apakah yang perlu dielakkan oleh bayi di bawah usia satu tahun?

• Perlu dielakkan garam, gula, madu dan pemanis tiruan. Cuba maniskan pencuci mulut dengan menggunakan pisang lenyek atau puri stew buah-buahan kering, di mana sesuai, atau gunakan susu ibu yang dipam atau susu formula.


• Elakkan daripada menambah sebarang teh ke dalam botol bayi. Tanin dalam teh akan menganggu penyerapan zat besi dan kafein yang juga ada dalamnya tidak disarankan untuk kanak-kanak.


• Elakkan dari memberi perahan buah-buahan atau minuman diet kepada bayi anda. Pemanis tiruan tidak sesuai untuk bayi dan kanak-kanak.


• Elakkan makanan yang membawa risiko keracunan makanan seperti keju lembut yang diperam sehingga berkulat (brie, camembert) dan sari (pate) hati. Telur mestilah dimasak sepenuhnya – elakkan memberi telur masak lembut, telur separuh masak atau telur mentah.


• Jangan berikan susu lembu (atau kambing atau kambing biri-biri) sebagai minuman utama kepada bayi yang berusia di bawah satu tahun.


• Susu skim dan susu setengah skim, mentega rendah lemak, yogurt dan keju rendah lemak. Sentiasa berikan bayi anda jenis penuh lemak – mereka memerlukan kalorinya.

Berapa banyak lemak perlu diberikan kepada bayi dan anak kecil?

Sehingga usianya sekurang-kurangnya dua tahun, lemak ialah sumber tenaga yang penting bagi bayi anda, jadi susu, keju dan yogurt penuh krim adalah penting. Apabila bayi anda sudah berusia dua tahun, dan hanya jika dia membesar dengan sihat, dan memakan makanan seimbang, barulah anda boleh memperkenalkan jenis rendah lemak kepadanya secara perlahan-lahan. Apabila dia sudah berusia lima tahun, hanya sepertiga daripada tenaganya perlu diperolehi dari lemak.

 

Berapa banyakkah serat yang diperlukan?

Berhati-hatilah apabila memperkenalkan terlalu banyak makanan penuh bijiran kepada bayi dan kanak-kanak. Ia akan berkembang dan boleh memenuhkan perut yang kecil, meninggalkan hanya sedikit ruang untuk makanan bertenaga tinggi yang lain. Jadi berikan bayi dan anak kecil anda campuran roti putih dan yang penuh bijiran,begitu juga bagi nasi dan pasta.

-->> Baca Seterusnya

01 November 2010

Cukur jambul

Written for BabyCenter Malaysia

Apakah itu cukur jambul?

Sebenarnya ia adalah kali pertama bayi bergunting rambut, dilakukan mengikut tradisi Melayu. Ia adalah satu upacara tradisi yang penting yang diadakan supaya keluarga luas dapat berkumpul beramai-ramai untuk mengukuhkan ikatan dan menyambut kedatangan bayi ke dalam keluarga.


“Inilah masanya kami berkongsi kegembiraan bersama-sama rakan dan saudara-mara,” jelas Sharliza Salleh, di London, yang mengingat kembali upacara cukur jambul untuk anak lelakinya Afiq, 11, dan anak perempuannya, Alya, 10, dengan perasaan gembira. Upacara Afiq diadakan di rumah nenek sebelah bapanya di Lembah Klang; upacara Alya diadakan di rumah moyangnya di Tapah, Perak.


Banyak budaya di seluruh dunia mempraktikkan beberapa amalan bercukur bagi bayi. Sesetengahnya hanya menggunting beberapa helai rambut; yang lain mencukur rambut bayi sepenuhnya. Kedua-duanya ini boleh diterima bagi cukur jambul (juga dikenali sebagai berendoi di utara semenanjung).


Di Malaysia, komuniti etnik yang lain juga mempunyai upacara bercukur masing-masing yang unik, mengikut asal-usul, agama dan tradisinya. Dalam komuniti Hindu, sebagai contoh, rambut bayi dicukur dalam upacara

mundan, yang dianggap sebagai ritual penyucian. Sesetengah ibu bapa kaum Cina juga mencukur kepala bayi selepas sebulan ia dilahirkan (mun yuet) sebab percaya bahawa “rambut dalam rahim” perlu dibuang dan berharap agar rambut baru akan tumbuh dengan lebat dan berkilat (walaupun tidak terdapat sebarang bukti saintifik yang menyokong kepercayaan ini!).

Di mana dan bilakah ia diadakan?

Upacara cukur jambul selalunya diadakan sebaik saja ibu lepas pantang iaitu di antara 40 dan 44 hari. Untuk anak-anak Sharliza, cukur jambul diadakan pada hari ke-42 selepas kelahiran.


Walau bagaimanapun, Hanani Liza Abdul Jalil dari Ipoh, Perak, telah menganjurkan upacara cukur jambul untuk anak perempuan kepada anak saudaranya, Aqilah, semasa dia berumur lima bulan – kelewatan yang luar biasa tetapi masih diadakan dengan meriah dan bermakna. “Upacara ini diadakan di rumah moyangnya di Sungai Baru, Melaka, sebab dia mahu menunjukkan cicitnya yang pertama. Seluruh keluarga hadir walaupun ibu bapanya Fazlina dan Amir tinggal di Kuala Lumpur.” Tidak hairanlah bagaimana moyang Aqilah telah menjemput semua penduduk kampung ke kenduri tersebut dan menghidangkan makanan tradisional yang istimewa seperti nasi minyak, rendang dan ayam masak merah.


Malah, ramai ibu bapa baru memilih untuk mengadakan upacara tersebut di rumah ahli keluarga yang lebih tua tetapi kadang-kala ianya sukar atau mustahil, dan bergantung kepada logistik seperti luas kawasan dan jumlah tetamu.

Selalunya, adakah jemputan ramai?

Kebanyakan ibu bapa baru menjemput keluarga dan rakan-rakan rapat sahaja. Terdapat juga yang menjemput jiran-jiran dan rakan sekerja. Walau bagaimanapun, kenduri yang besar dan mewah bukanlah suatu kemestian. Jamuan kecil dan sederhana melibat ahli keluarga rapat sahaja juga sama bermakna. Sesetengah ibu bapa baru langsung tidak mengadakannya sebarang jamuan.

Apakah yang berlaku semasa upacara?

Dalam kenduri cukur jambul yang tradisional, rambut bayi akan dicukur dan kemudian ditanam. Ahli keluarga terdekat selalunya dijemput untuk menyaksikan upacara tersebut. Selalunya, doa dibacakan atau dinyanyikan (marhaban atau berzanji). Sambutan secara lain bergantung kepada tradisi keluarga dan adat setempat.


Upacara cukur jambul Putra Dani Nashrin telah diadakan pada hari ke-44 selepas kelahirannya di Selangor. Keghairahan datuk dan nenek sebelah bapanya menyambut cucu membuatkan upacaranya diadakan dengan meriah dan besar-besaran. Ibunya, Tengku Rinanda Putri Tengku Aziz, berkata: “Kami semua sungguh teruja terutamanya mertua saya sebab Dani ialah cucu lelakinya yang pertama. Dia adalah cucu keempat ibu dan bapa saya tetapi mereka juga seronok sebab saya adalah anak bongsu dan anak perempuan mereka tunggal.”


Upacara tersebut diadakan di rumah datuk dan nenek sebelah bapa Dani di Subang Jaya, Selangor. Rinanda berkata bahawa seramai 150 orang tetamu, termasuk keluarga, rakan rapat dan rakan sekerja telah hadir. “Ibu mertua saya menempah satu pentas khas marhaban. Ia berharga kira-kira RM3,000! Ia dihiasi dengan bunga-bunga segar dan foto anak saya dari hari dia dilahirkan sehingga hari tersebut! Dia juga telah membeli katil diperbuat daripada rotan dan Dani diletakkan dalam katil ini apabila mereka memulakan marhaban.”


Cukur jambul selalunya bermula pada waktu lewat pagi dengan bacaan Al-Quran atau marhaban atau berzanji. Ibu bapanya kemudian mendukung dan membawa bayi kepada setiap orang supaya mereka dapat menggunting beberapa gelung rambut – selalunya peluang menggunting ini diberikan kepada datuk dan nenek, ahli keluarga atau penduduk kampung yang lebih tua, ahli kumpulan marhaban atau berzanji, dan ketua agama. Selalunya menjadi satu adat (walaupun bukannya suatu kemestian) untuk mereka yang melakukannya menghadiahkan bayi dengan sedikit wang atau sepertinya. Gegelung rambut akan diletakkan dalam sebuah mangkuk berisi air atau tempurung kelapa muda. Dalam sesetengah keluarga, mereka mengikut adat yang mana gegelung rambut akan ditimbang dan emas (atau wang yang setimpal) didermakan mengikut beratnya kepada orang-orang miskin dan memerlukan. Setelah selesai upacara, rambut ini akan ditanam. Bapa Dani, Mohammad Najmie Noordin, menanamnya di belakang rumah mereka.


Satu lagi elemen penting ialah dulang atau dulang upacara yang membawa gunting dan tempurung kelapa muda (atau mangkuk berisi air). Selalunya, ini disertakan bersama daun kunyit, bunga rampai, dan mungkin sedikit madu dan kurma.


Selalunya, tetamu akan dihidangkan dengan makanan dan minuman. Pada hari ini, makanan Melayu seperti nasi briyani, nasi minyak, kambing guling, ayam masak merah dan gulai daging dihidangkan bersama kek coklat dan makanan barat. Walapun dahulunya tetamu dihadiahkan dengan bunga telur sebagai tanda terima kasih, kini mereka dihadiahkan dengan gula-gula dan juga kek. Tetamu Aqilah di Melaka juga menerima kek lapis yang dipek dalam kotak kecil berwarna perak, sementara gula-gula dan pulut kuning dengan rendang dipek dalam cawan. Tetamu Dani diberikan kek mufin dan coklat dengan hiasan berupa mukanya!

Tip untuk cukur jambul yang selamat

• Pastikan bayi anda rehat secukupnya sebelum   upacara bermula. Ini sebab adalah sukar untuk menguruskan bayi yang meragam dan menangis. Mujurlah buat Rinanda, “bayi saya tidur sepanjang upacara. Dia hanya bangun untuk menyusu.” Aqilah yang berusia lima bulan adalah lebih aktif. “Dia kelihatan berwaspada sebab didukung oleh terlalu ramai orang,” kata makciknya, Hanani Liza, “tetapi dia sangat baik! Dia memang seronok mendapat perhatian ramai.”


• Bagi tujuan kebersihan, belilah gunting atau pisau yang baru untuk upacara cukur jambul.


• Jika rambut bayi anda dicukur sepenuhnya, sapukan krim atau losyen antiseptik untuk menyembuhkan luka di kepala bayi anda. Pakar runding pediatrik dan pakar BabyCenter

Dr Winston Yong berkata bahawa dia kadangkala mendapati impetigo atau jangkitan kulit berlaku selepas kepala bayi dicukur.


• Pastikan bayi anda berpakaian sesuai – bilik akan menjadi panas dan melekit jika terdapat ramai orang, memandangkan cuaca lembap kita di sini. Pakaian kapas asli merupakan bahan yang terbaik.

-->> Baca Seterusnya

26 October 2010

Anatomi Tubuh Bayi Baru Lahir

Jangan kecewa jika bayi baru lahir kelihatan agak berbeza dari apa yang anda jangkakan. Dia mungkin kelihatan lebih kecil dan amat mudah tercedera. Saiz kepalanya yang kecil mungkin dilitupi bahan berminyak putih (verniks). Ikuti anatomi lengkap tubuh bayi baru dilahirkan serta fungsinya.

 

1) Bahagian Kepala

~ Berbentuk ganjil: Ia disebabkan oleh tekanan semasa proses kelahiran. Kepalanya akan kelihatan kembali normal dalam masa dua minggu.

 

~ Fontanel: Terletak di atas bahagian kepalanya dan merupakan bahagian tompok yang lembut. Ini kerana tulang tengkoraknya masih belum bersambung. Pada usia bayi anda mencecah 18 bulan, tulang tengkorak di bahagian ini sepatutnya bersambung.

 

2) Kelopak Mata

~ Kelihatan membengkok kerana disebabkan tekanan semasa kelahiran, Seeloknya minta doktor atau bidan memeriksa mata bayi anda kerana ada kalanya bayi mungkin terkena jagnkitan.

 

3) Tangan dan Kaki

~ Berwarna Kebiruan: Ia berlaku kerana peredaran darah bayi anda yang masih belum mampu berfungsi dengan sempurna. Jika anda mengalihkan bayi anda pada kedudukan lain, warna kebiruan ini mungkin akan bertukar menjadi merah jambu.

 

4) Rambut

~ Bayi anda mungkin berambut lebat atau juga mungkin dilahirkan botak.

 

5) Mata

~ Bayi anda dapat melihat pada waktu lahir jika anda memegangnya dalam jarak 20cm (18inci) dari wajah anda.

 

6) Buah Dada

~ Buah dada bayi anda mungkin kelihatan membengkak melahan mengeluarkan sedikit susu. Ini merupakan perkara biasa bagi kedua-dua jantina. Bengkak ini sepatutnya susut dalam jangka masa dua hari. Ingat! Jangan picit keluar susu itu!

 

7) Tunggal Tali Pusat

~ Akan gugur dalam masa 7 hari.

 

8) Tangan

~ Hanya boleh menggenggam erat jari anda jika disuakan didalam genggamannya.

 

9) Kemaluan

~ Bagi bayi yang baru dilahirkan, bahagian kemaluannya akan kelihatan besar (bayi lelaki dan perempuan). Mungkin juga terdapat lelehan dari faraj bayi perempuan kerana disebabkan oleh hormon ibunya. Bagaimanapun ia akan hilang tidak lama kemudian. Bagi bayi lelaki pula, zakarnya akan ertarik ke atas groinnyam jika anda bimbang berjumpalah dengan doktor.

 

10) Najis

~ Ketika dilahirkan, usus bayi mengandungi bahan gelap dan melekit. Ia dipanggil mekonium. Najs bayi akan berubah warna sebai sahaja bayi mula makan.

 

11) Kaki

~ Biasanya kelihatan agak pengkar kerana bayi anda mengerekot sepanjang masa ketika di dalam rahim anda.

 

12) Kulit

~ Kulit mengelupas : Selain bintik dan ruam yang menjadi perkara biasa pada bayi, dia juga mengalami kulit mengelupas terutama pada bahagian kaki dan tangan. Ia sepatutnya hilang dengan sendiri dalam masa beberapa hari.

 

~ Lanugo : Bulu roma halus ini mungkin kelihatan agak ketara terutama pada bayi yang dilahirkan awal. Bagaimanapun lanugo akan tanggal dalam masa 2 minggu.

 

~ Verniks : Berwarna putih dan berminyak. Ia merupakan bahan yang melindungi kulit bayi semasa di dalam rahim. Ia mungkin juga meliputi seluruh badan bayi, boleh dibersihkan (dilap) dengan mudah.

 

13) Tanda Lahir

~ Tanda Merah : Dikenali juga sebagai gigitan burung bangau. Biasanya terdapat pada kelopak mata, dahi dan belakang leher. Tanda ini mengambil masa setahun untuk hilang.

 

~ Tanda Lahir Strawberi : Tanda yang agak membimbangkan ibu bapa kerana saiznya perlahan-lahan menjadi semakin besar. Tanda ini hilang apabila anak anda mencapai usia 5 tahun.

 

~ Tompok Biru : Dikenali sebagai tompok biru Mongolia. Biasanya ditemui di sekitar punggung bayi yang berkulit gelap.

 

 

Sumber: Pa&Ma

-->> Baca Seterusnya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...