.: Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang :.
"4 Lil One sebuah blog yang menghimpunkan pelbagai artikel daripada web dan media cetak yang didedikasikan khas untuk memberikan maklumat, panduan dan bimbingan serta perkongsian pengalaman mengenai Kehamilan, Penyusuan Susu Ibu, Penjagaan Bayi dan Kanak-kanak, Pemakanan serta aktiviti-aktiviti yang berkaitan kekeluargaan. Semoga info-info di blog ini dapat membantu ibu bapa semua terutamanya 1st time parent."

12 November 2010

Pelindung ibu dan bayi

Sumber: Norlaila Hamima Jamaluddin (2010). Pelindung ibu dan bayi. MyMetro. 1 Ogos.



“TERLALU sikit, puas cuba beri anak susu badan tetapi dia macam tak puas, asyik menangis saja. Akhirnya saya dan suami mengalah, berikan Aina susu formula. Lebih senang, terutama bagi saya yang kerap bertugas di luar daerah. Kalau dipaksa beri, payudara saya yang terasa sakit.

“Kawan cerita, mereka tidak cukup tidur malam kerana terlalu kerap bangun menyusukan anak,” kata seorang wanita ketika menunggu giliran untuk pemeriksaan bulanan kehamilan.
Terpaksa bangun malam menyusukan anak? Letih dan mengantuk pada siang hari? Ia bukan masalah, sebaliknya itulah keistimewaan menjadi ibu, kata Sheemi Mayanti Abdul Jalil, 29, yang menyusukan anak sulungnya secara eksklusif selama enam bulan.
Kini dia masih meninggalkan bekalan susu badan (yang dipam setiap hari) walaupun anaknya berumur 17 bulan. Tiada susu formula untuk si kecil kerana Sheemi percaya susu ibu jauh lebih baik daripada susu formula paling mahal di pasaran.

Jika hendak bercerita kebaikan, semua wanita terutama yang bergelar ibu, sudah tahu. Malah maklumat mengenai manfaat dan kebaikan susu ibu berlambak di Internet dan saban tahun dipaparkan di semua media setiap kali menjelang Minggu Penyusuan Badan bermula hari ini hingga Sabtu depan (7 Ogos). Manfaat memberi susu badan akan dinikmati ibu dan anak.

Bagi anak, dia mendapat semua khasiat diperlukan sesuai dengan umurnya. Susu ibu adalah makanan lengkap untuk bayi dan tiada susu formula yang mampu menyaingi kehebatan susu ini kerana ia mengandungi antibodi untuk melindungi bayi daripada jangkitan penyakit.
Ia juga membantu perkembangan otak dan sistem saraf bayi. Bayi yang diberi susu badan juga menunjukkan perkembangan psikomotor (hubungan antara otot dan otak) dan emosi lebih baik.
Bayi yang diberi susu badan kurang mengalami masalah alahan berbanding bayi yang membesar dengan susu formula. Penyusuan badan juga sebenarnya merangsang pembentukan rahang bayi dan mengurangkan masalah gigi berlubang.

Tahukah anda, susu formula mengandungi gula walaupun rasanya tidak manis, dan ini sebabnya kebanyakan kanak-kanak yang diberi susu formula, terutama sejurus sebelum tidur, mempunyai masalah gigi reput dan berlubang.

Itu sebahagian daripada manfaat untuk bayi. Pada ibu, penyusuan badan mempercepatkan penyembuhan luka dan pengecutan rahim supaya kembali ke saiz asal serta menghentikan pendarahan selepas bersalin, kata Penasihat Penyusuan Badan Hospital Assunta, Sister Vara Letchime.

“Ia membentuk ikatan perasaan antara ibu dan anak, mengurangkan risiko berlakunya kemurungan selepas bersalin atau meroyan. Memang kebanyakan wanita berasa sedih selama beberapa hari selepas bersalin. Ia perkara biasa, tetapi kesedihan ini hilang perlahan-lahan apabila ibu menyusukan bayi mereka.

“Memberi susu badan sebenarnya memberi lebih kebebasan untuk anda pergi berjalan dan tidak perlu bimbang kehabisan stok kerana ia ada di badan anda.

“Selagi anda mengamalkan pemakanan seimbang dan sihat, anda menghasilkan susu yang baik untuk anak. Uniknya komponen susu badan ini berubah-ubah mengikut pertambahan usia anak,” katanya.

Penyusuan badan juga memberi perlindungan tambahan kepada ibu kerana ia mengurangkan risiko mendapat kanser payudara dan ovari — dua jenis kanser wanita paling ditakuti.
Kanser payudara memberi banyak kesan kepada penampilan dan psikologi seseorang wanita manakala kanser ovari dikelaskan sebagai kanser paling teruk kerana ia sukar dikesan.
Satu perkara penting yang perlu anda ketahui ialah penyusuan badan adalah cara terbaik untuk menurunkan berat berlebihan yang anda ‘kumpul’ sepanjang tempoh kehamilan.
Kajian mendapati setiap kali anda menyusukan bayi, kira-kira 500 kalori hilang tanpa perlu bersusah payah bersenam. Pada keadaan biasa kita perlu berlari atau naik tangga selama 64 minit; joging atau berbasikal (72 minit); senaman aerobik (90 minit) atau dua jam berbasikal untuk membakar kalori sebanyak itu.

Susu terlalu sikit?
Menurut Vara, isu ketiadaan susu atau susu badan terlalu sedikit hanya mainan psikologi. Setiap wanita yang melahirkan anak dianugerahkan Tuhan dengan makanan untuk bayi (susu).

Pengeluaran susu badan berlandaskan konsep ada permintaan, baru ada penghasilan. Maknanya jika bayi tidak diberi susu badan, penghasilan susu berkurangan dan berhenti selepas satu tempoh tertentu.

“Ramai wanita anggap kemahiran menyusukan bayi datang secara semula jadi selepas melahirkan anak. Kemahiran ini perlu dipelajari; baru anda dapat menyusukan bayi dengan baik dan ia secara tidak langsung menggalakkan penghasilan susu badan,” katanya.
Apa perlu dilakukan? Teruskan penyusuan walaupun anda berasakan susu yang keluar sangat sedikit. Bayi anda bijak, dia akan hisap susu dan berhenti apabila terasa kenyang; tidak akan tahu berapa banyak susu masuk ke dalam perutnya. Kuantiti yang anda rasakan ‘sedikit’ itu mungkin cukup untuknya untuk sekali susuan.

Pada awalnya susu yang keluar memang sedikit. Teruskan memberi rangsangan (menyusu bayi dengan betul); pengeluaran susu akan lebih tetap selepas tiga hari melahirkan anak.
Beberapa faktor boleh mempengaruhi pengeluaran susu seperti kurang rangsangan, cemas dan bimbang, merokok, minum minuman beralkohol, kurang keyakinan serta tidak mendapat sokongan, khususnya daripada suami dan ahli keluarga, untuk menyusukan bayi.
Ada yang bertanya adakah makanan khusus yang boleh meningkatkan penghasilan susu badan? Tiada. Yang perlu dilakukan hanya mengamalkan pemakanan seimbang dan banyakkan minum air; sekurang-kurangnya satu hingga satu setengah liter sehari.
“Wanita yang menyusukan anak memerlukan lebih kalori (300 hingga 500 kalori) berbanding wanita lain. Cara mendapatkannya ialah makan kerap iaitu lima hingga enam kali sehari dan lebihkan pengambilan protein.

“Larangan makan ayam kerana takut gatal, terutama bagi wanita yang bersalin melalui pembedahan, sebenarnya tidak praktikal kerana ayam mengandungi protein yang sangat diperlukan untuk penyembuhan luka. Kalau tidak mahu makan ayam, kena ganti dengan sumber protein lain.

“Susu yang dirumus untuk ibu juga baik bagi membantu wanita mendapat kalori harian secukupnya kerana ia biasanya mengandungi vitamin D, asid folik dan mineral. Ramai bertanya mengenai makanan yang perlu dielak ketika menyusukan bayi.
“Tiada kaedah khusus untuk menentukannya, ia diketahui melalui kaedah cuba – kalau nampak bayi tidak selesa, periksa balik apa makanan yang anda ambil,” kata Perunding Pemakanan, Siti Wahida Mhd Halil.

Bagaimanapun, Siti Wahida mengingatkan wanita supaya tidak mengambil ubat atau persediaan herba sebelum atau selepas bersalin kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak pendarahan ketika bersalin secara normal atau pembedahan. Pengambilan persediaan herba ini dibenarkan enam minggu selepas bersalin.

Cara meningkatkan pengeluaran susu:
> Letakkan bayi dekat pada payudara

> Jangan berikan puting getah pada bayi, kerana ia boleh mengelirukannya dan mengurangkan masa menghisap susu badan

> Galakkan bayi menyusu sekerap mungkin. Lebih kerap anda menyusukan bayi, lebih banyak susu akan dihasilkan
> Penghasilan susu berlandaskan konsep ada permintaan, ada bekalan
> Jangan hadkan kekerapan menyusukan anak

> Beri susu dari kedua-dua belah payudara. Jangan tertumpu pada sebelah saja supaya penghasilan susu setara

> Rehat sebanyak mungkin dan bertenang ketika menyusukan bayi bagi melancarkan aliran susu

> Jangan berasa terpaksa menyusukan anak dan tidak sabar menunggu anak habis menyusu. Beri masa kepada anak dan diri sendiri kerana ia proses belajar untuk anda berdua

Cara penyusuan yang betul
> Letak bayi pada posisi selesa (sama ada anda berbaring mengiring) atau duduk dengan memangkunya

> Pastikan kedudukan anda juga selesa

> Sentuh mulut bayi dengan puting anda sehingga dia membuka mulutnya. Dekatkan bayi ke dada dan pastikan puting serta bahagian areola masuk sepenuhnya dalam mulut bayi

> Jika bayi atau ibu nampak tidak selesa, tarik puting daripada mulut bayi dan mulakan semula

> Susukan bayi hingga dia kenyang iaitu sehingga bayi melepaskan puting ibu secara spontan

> Selepas selesai penyusuan di sebelah payudara, beri bayi susu daripada payudara sebelah lagi

> Tanda penyusuan betul ialah apabila mulut bayi terbuka luas, dagunya menyentuh payudara ibu, bibir bawah dalam keadaan normal (tidak terlipat ke dalam mulut) dan anda boleh lihat tindak balas ketika menyusu

Masalah biasa penyusuan badan
Antara masalah yang sering dialami wanita ialah payudara bengkak kerana banyak susu. Cara mengurangkan bengkak ialah dengan menyusukan bayi dengan kerap dan mengepam susu (supaya ia boleh disimpan dan diberi kepada anak kemudian).

Jika bengkak masih tidak hilang, tuam payudara dengan tuala yang direndam dalam air hangat (elak terkena puting dan areola iaitu bahagian berwarna gelap sekeliling puting). Ulang beberapa kali sehingga rasa sakit dan bengkak berkurangan. Anda juga boleh mengurut payudara perlahan-lahan ke arah puting untuk merangsang aliran susu.

Pada masa sama wanita kerap menghadapi masalah puting terasa sakit dan pedih. Ia mungkin disebabkan beberapa perkara seperti:

> Kaedah penyusuan yang tidak betul
> Keradangan akibat fabrik pakaian
> Menarik bayi menjauhi payudara ketika mulutnya masih tertutup — tindakan ini boleh menyebabkan geseran kuat pada puting

Cara mengatasi:
> Belajar cara penyusuan yang betul. Pastikan puting dan bahagian areola masuk ke dalam mulut bayi. Cara betul untuk menarik payudara daripada bayi anda ialah dengan menekan dagu bayi perlahan-lahan supaya mulutnya terbuka. Kaedah ini dapat mengurangkan geseran pada puting

> Mulakan penyusuan di belah payudara yang tidak sakit kerana pada ketika ini daya sedutan dari mulut bayi anda lebih kuat

> Tuam tuala panas di sekeliling payudara sebelum memulakan penyusuan untuk merangsang pengeluaran susu

> Sapukan sedikit susu pada payudara anda terutama di bahagian areola untuk melicinkan dan melegakan tisu

> Sapukan krim jika perlu (selepas penyusuan) Bila susu perlu dipam? Menurut Vara, ia boleh dilakukan dalam beberapa keadaan seperti bayi tidak cukup matang untuk menghisap susu atau memerlukan susu anda (contohnya kes bayi lahir tidak cukup bulan); payudara menjadi bengkak dan ibu bercadang kembali bekerja.

“Wanita yang hendak kembali bekerja disaran memerah susu dua minggu lebih awal untuk membiasakan bayi menerima susu dari botol. Pada suhu bilik, susu diperah boleh bertahan sehingga lapan jam dan 24 hingga 48 jam jika disimpan dalam peti sejuk bahagian bawah.
“Susu boleh tahan hingga tiga bulan jika disimpan di bahagian dingin beku (bagi peti sejuk dua pintu). Pastikan susu ini tidak diletakkan di bahagian pintu kerana suhu berubah setiap kali ia dibuka.

“Ketika di tempat kerja, pam susu anda beberapa kali sehari mengikut keperluan. Lakukan juga pada waktu malam sebelum tidur supaya bayi anda mempunyai bekalan susu yang cukup ketika anda tiada di rumah.

“Pada hujung minggu pun kalau boleh pam juga susu, untuk memastikan bekalan susu sentiasa ada. Ini yang saya lakukan sehingga anak berusia lebih setahun.

“Saya tidak pernah beri anak susu formula kerana yang lebih baik sudah ada, lagi pun ia percuma. Dalam hal penjagaan anak, terutama penyusuan dan pemakanan, saya memang ikut buku.

“Malah ayah dan suami adalah orang paling sibuk memastikan si kecil mendapat khasiat susu ibu sepenuhnya,” kata Sheemi yang masih mengekalkan bentuk badan seperti ketika anak dara dulu.

0 orang sumbangkan pendapat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...