.: Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang :.
"4 Lil One sebuah blog yang menghimpunkan pelbagai artikel daripada web dan media cetak yang didedikasikan khas untuk memberikan maklumat, panduan dan bimbingan serta perkongsian pengalaman mengenai Kehamilan, Penyusuan Susu Ibu, Penjagaan Bayi dan Kanak-kanak, Pemakanan serta aktiviti-aktiviti yang berkaitan kekeluargaan. Semoga info-info di blog ini dapat membantu ibu bapa semua terutamanya 1st time parent."

23 February 2012

Orang sibuk tahu menggunakan masanya dengan cekap, optimum dan berkesan.
Sebaiknya peruntukkan masa secara konsisten untuk anak-anak. Walau pun masa di rumah mungkin terbatas, namun gunakanlah secara berkualiti. Masa berkualiti ialah masa yang digunakan secara optimum dan mencapai tujuannya. Kadang-kadang kita mengadu bahawa kita tidak cukup masa. Namun jika kita semak, berapa banyak masa yang kita gunakan untuk anak-anak secara optimum.

Di sini beberapa cara yang boleh digunakan untuk menjadikan masa kita berkualiti:
  • Apabila pulang dari kerja, hadkan dari melakukan aktiviti yang bersifat sendirian seperti menonton televisyen atau membaca surat khabar, terutama jika masa sudah suntuk. Sebaliknya gunakan masa itu untuk bersama-sama dengan anak. Perlu diingat, menonton TV 'bersama-sama' anak, hakikatnya tidak dikira bersama anak, dan biasanya tidak membawa impak pendidikan.
  • Lakukan aktiviti seperti bermain-main, bersiar-siar, bersukan, bersama-sama anak mengikut kesesuaian umur mereka.
  • Jika kita mempunyai urusan atau program sampingan di luar, seboleh-bolehnya ajak anak bersama-sama, serta gembirakan dan raikan dia, agar dia tidak serik untuk mengikut lagi pada masa akan datang.
  • Bila bersama-sama dalam kenderaan, gunakan masa itu untuk berbual-bual, bertanya tentang kawan-kawan, membuat teka teki atau bercerita. Usah biarkan kita dan anak berdiam diri melayan perasaan masing-masing.
  • Sentiasa fikirkan aktiviti yang serampang dua mata, iaitu satu aktiviti yang boleh mencapai dua matlamat. Contohnya, kita mahu menyihatkan badan dengan bersenam, maka kita ajak anak kita untuk meriadah bersama-sama. Atau, sebagai guru, kita mempunyai tugasan untuk menanda kertas jawapan, maka kita boleh bekerjasama dengannya untuk mengira dan mengisi markah. Berikan ganjaran jika sesuai.

Kenapa terlalu sibuk?

Tegasnya, kesibukan yang dialami itu bukanlah alasan untuk kita abaikan anak-anak.
Jika kesibukan itu kerana kerja-kerja ukhrawi seperti berdakwah, melakukan aktiviti Islami dan seumpamanya, maka kita perlu ingat bahawa mendidik anak itu juga kerja ukhrawi. Keutamaannya tidak boleh dinafikan.

Mana mungkin kita sibuk mengajak orang mendekati agama, jika keluarga kita sendiri dibiarkan tanpa pedoman. Bukankah menyampaikan kebenaran kepada yang hampir itu amat penting, di samping menyampaikannya kepada khalayak yang jauh. Jika kesibukan itu kerana urusan mengumpul kekayaan, membina kerjaya dan mengembangkan empayar bisnes, maka ingatlah semua itu tidak akan ke mana. Bila kita meninggalkan dunia, harta akan menjadi milik orang, kerjaya akan luput dan nama hanya menjadi kenangan.

Jika kita mendidik anak, anak-anak bisa terus-menerus melaburkan pahalanya kepada kita selepas kita pergi. Doa-doa mereka bisa mengubah nasib kita kelak nanti. Dan dengan kita mendidik anak sehingga dia menjadi soleh, kita dapat mengelakkan diri kita dari dibalun oleh Munkar Nakir dan dibakar di akhirat nanti.

Ingatlah pesan Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka; yang kayu bakarnya ialah manusia dan batu-batu; penjaganya ialah Malaikat yang kasar, bengis, serta mereka tidak pernah mengengkari apa yang Allah suruh, dan mereka laksanakan apa jua yang Allah arahkan." - Surah al-Tahrim:6

Baginda Rasulullah pula bersabda:
"Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kamu pimpin. Seorang suami bertanggungjawab atas isterinya, maka dia akan dipertanggungjawabkan atas perkara itu. Seorang isteri bertanggungjawab atas urusan rumah suaminya, maka dia akan dipertanggungjawabkan atas perkara itu." - Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Tanggungjawab Ibu Bapa

Tegasnya, kedua-dua ibu dan bapa bertanggungjawab atas usaha pendidikan ini.
Bapa sebagai pemimpin keluarga adalah pihak utama yang perlu berperanan.
Ibu pula perlu menggunakan segala potensi keibuannya untuk mendidik anak menjadi soleh dan solehah.

Jangan sampai anak itu menjadi terabai dan 'yatim sebelum yatim', akibat ibu bapa mereka 'mati sebelum mati', sebagaimana diungkap dalam syair Arab, yang diolah seperti berikut:

Bukanlah yatim itu
Si anak yang ibu ayahnya telah pergi...
Hidup perit tidak terperi
Dan ditinggalkannya dalam sepi
Sebetulnya yatim itu...
Si anak yang punya ibu, namun tiada peduli
Dan punya ayah, namun sibuk tak henti-henti.


- Artikel iluvislam.com

0 orang sumbangkan pendapat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...