.: Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang :.
"4 Lil One sebuah blog yang menghimpunkan pelbagai artikel daripada web dan media cetak yang didedikasikan khas untuk memberikan maklumat, panduan dan bimbingan serta perkongsian pengalaman mengenai Kehamilan, Penyusuan Susu Ibu, Penjagaan Bayi dan Kanak-kanak, Pemakanan serta aktiviti-aktiviti yang berkaitan kekeluargaan. Semoga info-info di blog ini dapat membantu ibu bapa semua terutamanya 1st time parent."

23 February 2012

:: Persoalan :: Puting Tenggelam atau Leper?

Sumber: Rita Rahayu Omar (Ogos 2010). Puting tenggelam atau leper?. Majalah Pa&Ma. 119: 36. Selangor : Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd





S: Saya bakal melahirkan anak ketiga. Anak pertama dan kedua hanya disusukan selama 20 hari. Itu pun dengan bantuan pam. Ini kerana saya mengalami masalah puting buta. Apa yang harus saya lakukan kerana saya mengimpikan untuk memberi susu ibu lebih lama kepada anak ketiga?
Liza, Bangi, Selangor



J: Umumnya, setiap ibu mampu menyusukan bayinya. Masalah puting buta merupakan sesuatu yang jarang berlaku kerana keadaan ini adalah jika puting itu tiada lubang susu langsung. Ini menyebabkan susu tidak boleh keluar. Oleh kerana puan mampu mengepam susu, ini bermakna puan tidak mengalami masalah puting buta.

Saya andaikan bahawa puan mengalami masalah puting tenggelam atau puting leper. Hakikatnya, ia BUKAN penghalang untuk meneruskan penyusuan cuma ia mungkin lebih mencabar. Perlu diingat bahawa apabila menyusu, bayi melekap pada areola dan bukan puting semata-mata. Oleh itu, jika bayi berjaya melekap dengan betul dan melekap pada sebahagian besar areola, masalah puting tenggelam atau leper tidak menjadi masalah untuk puan meneruskan penyusuan. Puan mungkin mengalami sedikit masalah pada mulanya untuk melekapkan bayi tetapi berbekalkan semangat, kesungguhan, kesabaran dan teknik yang betul pasti puan berjaya.

Puan mungkin tertanya-tanya apakah perbezaan antara puting tenggelam dengan puting leper? Ibu-ibu hamil boleh memastikan sama ada mengalami puting tenggelam atau leper dengan memicit areola. Jika puting timbul dan bergerak ke hadapan, ia normal. Jika tidak timbul atau tegang dan tidak juga masuk ke dalam, ia dianggap leper. Jika puting berkeadaan songsang, masuk ke dalam tisu kulit atau melekuk, ia dianggap sebagai tenggelam.

Puting tenggelam atau leper tidak akan tegang apabila dirangsang atau ketika cuaca sejuk. Jika puting puan tidak timbul ketika dirangsang seperti yang dinyatakan di atas, ia bukannya tenggelam dan tidak memerlukan rawatan khusus untuk membolehkan puan menyusu dengan selesa.

Rawatan
Adalah penting untuk diketahui bahawa kebanyakan bayi yang melekap dengan betul mampu mengeluarkan puting tenggelam atau leper. Terdapat beberapa pilihan untuk merawat puting tenggelam/leper bagi membolehkan bayi melekap dengan lebih mudah. Sesetengah rawatan ini boleh dipraktikkan semasa hamil dan sebahagiannya pula perlu dilakukan selepas kelahiran bayi.

1. Cengkerang payu dara(Breast Shells).
Alat yang turut dikenali sebagai cawan susu, cawan payu dara atau pembentuk puting ini mengambil kesempatan ke atas keanjalan semula jadi kulit sewaktu hamil dengan memberi tekanan yang lembut tetapi tetap kepada aerola sebagai usaha memecahkan lekatan di bawah kulit yang menghalang puting untuk tegang. Cengkerang ini dipakai di dalam coli, di mana memerlukan puan memakai saiz coli yang lebih besar berbanding coli biasa dipakai bagi memuatkan cengkerang. Sebaik-baiknya, cengkerang perlu dipakai bermula trimester ketiga kehamilan untuk beberapa jam setiap hari.

Selepas mula selesa memakainya, puan boleh meningkatkan jumlah masa untuk memakainya di siang hari. Setelah bayi lahir, cengkerang yang sama boleh dipakai 30 minit sebelum setiap sesi penyusuan untuk mengeluarkan puting. Ia tidak sepatutnya dipakai di waktu malam dan susu yang dikumpulkan di dalamnya harus dibuang. Salah satu produk di pasaran adalah Nipple Former (produk Medela)

2. Teknik Hoffman.
Dengan melakukan teknik ini beberapa kali sehari, ia dapat melonggarkan lekatan pada pangkal puting. Untuk mengaplikasikan teknik ini, letakkan ibu jari di kedua-dua pangkal puting (bukannya di tepi aerola). Tolak perlahan-lahan bertentangan tisu payu dara dan pada masa yang sama tarik ibu jari jauh dari antara satu sama lain.

Dengan melakukan kaedah ini, puan akan meregang keluar puting dan melonggarkan pangkal yang ketat yakni menjadikan puting naik ke atas dan keluar. Latihan ini perlu diulangi 5 kali sehari mengikuti putaran arah jam di sekitar puting. Ia boleh dilakukan ketika hamil dan selepas bayi mula menyusu.

3. Pam payu dara.
Selepas melahirkan, penggunaan pam payu dara yang efektif amat membantu untuk mengeluarkan puting tenggelam atau rata. Gunakannya sejurus sebelum sesi penyusuan untuk membolehkan bayi melekap dengan lebih mudah. Ia juga boleh digunakan di lain waktu untuk membantu lekatan bawah kulit dipecahkan dengan menolak puting keluar secara sekata dari tengah.

4. Niplette.
Alat yang diperkenalkan oleh Avent ini turut membantu mengeluarkan puting dengan menyedutnya secara sekata, sama seperti yang dilakukan oleh pam payu dara. Ia memberi pemulihan kekal untuk puting tenggelam. Jadi, puan boleh mula memakainya sejak hamil.

5. Perangsang puting.
Jika puting boleh digenggam, puan boleh menggulung puting di antara ibu jari dan jari telunjuk selama satu atau dua minit dan kemudian dengan segera sentuh puting dengan kain lembap, sejuk atau dibalut ais (elakkan penggunaan ais yang lama kerana ia menyekat aliran susu dan menyebabkan puting kebas).

6. Tarik puting ketika pelekapan.
Memandangkan puan menyokong payu dara dengan ibu jari di atas dan empat jari yang lain di bawahnya, puan boleh tarik puting dari tisu payu dara ke dinding dada untuk membantunya menonjol.

7. Nipple shield.
Alat ini hanya boleh digunakan sebagai alternatif terakhir. Perisai puting adalah puting fleksibel yang dihasilkan daripada silikon yang ditempatkan di atas puting sepanjang sesi penyusuan. Ini dilakukan agar bayi dapat melekap dengan baik. Bagi mengelakkan bayi ketagih menyusu menggunakan perisai, ia sepatutnya dialihkan setelah bayi mula melekap dan menyusu dengan baik. Tempoh masa penggunaan perisai ini turut perlu dikurangkan.
Masalah yang mungkin berlaku akibat penggunaan perisai ini ialah mengurangkan penghasilan susu dan masalah pemindahan susu kepada bayi. Atas kemungkinan risiko ini, puan digalakkan hanya menggunakan perisai di bawah pengawasan pakar laktasi atau kaunselor laktasi. Perlu diingatkan juga bahawa walaupun terdapat risiko dalam penggunaan perisai ini, namun ia lebih baik daripada langsung tidak menyusukan bayi!



1 Hari 1 Tazkirah: Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Bagi setiap sesuatu itu ada hakikatnya, dan tidak mencapai hakikat iman seseorang hamba itu sehingga dia mengetahui bahawa setiap apa yang menimpanya itu ialah satu ketetapan, bukannya datang sendiri atau perkara yang belum terjadi itu tidak boleh berlaku. (HR Tabrani, Ahmad)

0 orang sumbangkan pendapat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...